Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak seharusnya terlalu berhati-hati sehingga takut menyuarakan pendirian mengenai Melayu dan Islam hanya kerana berada dalam kerjasama politik.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, parti itu boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi kestabilan negara, namun tidak boleh sampai kehilangan suara dan identiti sendiri.

“Kita boleh duduk semeja. Tetapi jangan sampai kerusi dan suara kita semakin kecil,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2026 di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Beliau berkata, UMNO menyertai kerajaan demi kestabilan dan akan terus mempertahankannya, namun pada masa sama perlu membina kekuatan sendiri.

Noraini turut mempersoalkan kecenderungan sesetengah pihak dalam parti yang terlalu berhati-hati ketika menyentuh isu Melayu dan Islam.

“Hendak bercakap soal Melayu, takut orang kata kita terlalu Melayu. Hendak bercakap soal Islam, takut disalahertikan. Hendak mempertahankan UMNO, takut dikatakan tidak menjaga hati rakan.

“Wanita mahu bertanya. Sejak bila kita perlu meminta maaf kerana menjadi UMNO?” soalnya.

Tegasnya, mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam tidak bermaksud UMNO perlu membenci kaum atau agama lain.

“Kita tidak perlu membenci kaum lain untuk membela orang Melayu. Kita tidak perlu menghina agama lain untuk mempertahankan Islam.

“Kita mahu orang Melayu yang kuat bukan supaya bangsa lain menjadi lemah. Kita mahu orang Melayu yang kuat supaya Malaysia menjadi lebih kuat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here