Pemimpin PAS hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Kemunculan kepimpinan tertinggi Pas mencuri perhatian apabila menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pagi ini.

Antara pemimpin yang hadir antaranya Datuk Idris Ahmad; Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahmad Fadhli Shaari serta Ahli Parlimen Bachok merangkap Setiausaha Politik Presiden Pas. Mohd Syahir Che Sulaiman.

Kehadiran mereka ke PAU2026 itu mencuri perhatian ketika hubungan antara kedua-dua parti Melayu terbesar negara kembali menjadi tumpuan susulan spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama politik antara mereka.

Ia juga dilihat membalas kunjungan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menghadiri Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan bagi mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, minggu lalu.

Sebelum ini, UMNO bersetuju menjemput kepimpinan tertinggi Pas menghadiri PAU 2026 yang dijadual berlangsung bermula 9 September selama empat hari sebagai membalas jemputan Pas kepada pimpinan UMNO.

UMNO dan Pas sebelum ini pernah menjalin kerjasama politik secara rasmi menerusi Muafakat Nasional yang dimeterai pada 2019 namun hubungan tersebut kemudiannya renggang selepas Pas memperkukuhkan kerjasama bersama Bersatu menerusi Perikatan Nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here