Foto IG Nealofa.

KUALA LUMPUR – Pendakwah dan personaliti media sosial, Haris Ismail mengakui dia berlapang dada untuk membenarkan isterinya, Noor Neelofa untuk berkahwin lain sekiranya dia menghembuskan nafas terakhir terlebih dahulu.

Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz, 31, berkata, dia perlu bersikap terbuka kerana perkahwinan juga merupakan satu tuntutan ibadah yang akhirnya turut memberikan manfaat buat si mati.

“Kalau saya meninggal lebih awal, saya nak Lofa (Neelofa) kahwin. Sebab apa? Pertama sekali, kita ada kehidupan yang perlu dijawab di akhirat kelak sampai kita langsung takkan fikir dah fasal hal dunia.

“Jadi daripada kita duduk fikir sekarang ini pasangan nak kahwin lagi ke tidak, teruskan (biarkan kahwin). Bina ibadah. Yang penting awak doakan saya selamat di akhirat.

“Soal dia nak nikah yang lain, kita doakan dia teruskan ibadah. Dengan didikan kita, kita suruh pasangan berkahwin demi ibadah dan menjaga kemaluan serta diri. Pahala itu akan mengalir untuk si mati,” katanya menerusi satu potongan video tular di media sosial di sini.

Haris juga sempat berpesan agar Neelofa dapat mencari seorang lelaki yang mempunyai ilmu agama lebih tinggi daripadanya sekiranya ditakdirkan dia pergi dahulu.

“Saya sendiri cakap, kalau esok-esok saya dah tiada, awak kahwinlah dengan yang lain. Cari yang ‘lebih ustaz’ daripada saya dan bina keluarga yang jauh lebih baik daripada apa yang kita bina sekarang.

“Masa suami Ummu Salamah meninggal, dia tertanya siapa orang yang lebih baik daripada suaminya yang bersusah-payah dan menjaganya, akhirnya Rasulullah sendiri yang mengahwini Ummu Salamah.

“Kita pun kalau dah tiada nanti, tentu kita nak isteri dapat berkahwin dengan orang yang lebih baik daripada kita.

“Mungkin anak-anak kita yang asbab perkahwinan baharu itu, suami itu ajar anak kita mengaji al-Quran dan ilmu agama. Bukankah kita sebagai arwah bapa turut memperoleh pahala yang banyak?” jelasnya.

Dalam pada itu, Haris mengingatkan hubungan percintaan dan ikatan perkahwinan di dunia bersifat pinjaman sementara berbanding pertalian darah bersama keluarga..8

PU Riz dan Neelofa kini mempunyai dua cahaya mata.

“Soal kasih dan cinta ini semua sementara. Sebab itu isteri dipanggil mahram sementara, bukan mahram selamanya. Mak kita barulah mahram selamanya.

“Jadi kalau Allah putuskan ikatan itu, carilah kehidupan dan bina agama untuk akhirat kita seterusnya,” ujarnya.

Untuk info, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan kini dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas serta sedang menantikan kelahiran anak ketiga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here