CYBERJAYA – Sembilan pekerja pembinaan berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir di kawasan projek pembesaran aliran sungai di Apartment Semarak, Jalan Putra Perdana 1A, di sini, malam ini.
Lebih mencemaskan, dua daripada mereka terpaksa berlindung di atas sebuah jengkaut, manakala tujuh lagi terkandas di darat apabila laluan ke lokasi mangsa tidak dapat dilalui akibat arus air terlalu deras.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.26 petang.
Menurut beliau, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya tiba di lokasi pada jam 6.40 petang.
“Komander operasi melaporkan setibanya di lokasi terdapat sembilan mangsa pekerja pembinaan terperangkap banjir di kawasan projek pembesaran aliran sungai.
“Dua mangsa berada di atas jengkaut, manakala tujuh lagi berada di darat, namun laluan ke tempat mangsa tidak dapat dilalui kerana arus air terlalu laju,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Ashrul Riezal berkata, kerja-kerja menyelamat terhadap kesemua mangsa sedang dijalankan.
“Operasi berkenaan membabitkan lapan anggota BBP Cyberjaya dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS),” katanya.
Katanya lagi, setakat ini, kesemua sembilan mangsa dilaporkan terdiri daripada lelaki.
“Operasi menyelamat masih berlangsung dan masa operasi terkawal serta tamat belum ditetapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















