KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk mengecualikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada kenaikan kadar gaji minimum.
Presidennya, Datuk William Ng berkata, keputusan itu dapat membantu memelihara kelangsungan kira-kira 1.3 juta PMKS di seluruh negara, khususnya ketika sektor berkenaan berdepan peningkatan kos operasi, margin keuntungan yang semakin mengecil serta ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau turut menghargai usaha dan keprihatinan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berhubung keputusan berkenaan.
“Keputusan ini jelas mencerminkan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap realiti semasa yang dihadapi PMKS tempatan, di samping terus memastikan kebajikan para pekerja sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut William, peningkatan gaji yang mampan sewajarnya berlandaskan penciptaan nilai dan lonjakan produktiviti.
Sehubungan itu, katanya, Samenta menyokong tumpuan kerajaan terhadap Dasar Gaji Progresif sebagai pendekatan untuk meningkatkan produktiviti di peringkat firma dan pekerja.
“Melalui sokongan terhadap pertumbuhan produktiviti di peringkat firma mahupun pekerja, kemakmuran ekonomi dapat dikongsi secara lebih saksama antara majikan dan tenaga kerja.
“Samenta turut mengesyorkan agar kerajaan bekerjasama rapat dengan persatuan industri dalam menyediakan modul latihan bersasar dan praktikal kepada PMKS bagi memangkin lonjakan produktiviti ini,” katanya.
Dalam pada itu, William berkata, dasar berkaitan gaji perlu dilihat secara menyeluruh bagi membolehkan perusahaan meningkatkan keupayaan menawarkan imbuhan yang lebih baik kepada pekerja.
Katanya, kerajaan disaran terus menangani kos overhed struktur termasuk kos pematuhan, beban kawal selia serta kos logistik dan utiliti.
Kerajaan juga disaran memperluas akses PMKS kepada kemudahan pembiayaan modal kerja pada kadar faedah rendah bagi membantu mengukuhkan kedudukan kewangan perusahaan.
Bagaimanapun, Samenta tetap menggalakkan majikan PMKS yang berkemampuan untuk menawarkan kadar upah lebih kompetitif kepada pekerja masing-masing.
“Langkah murni ini penting bukan sahaja bagi mengekalkan bakat terbaik, malah berupaya memupuk tenaga kerja yang setia dan berdedikasi demi memangkin daya saing perniagaan untuk jangka panjang,” katanya.
William berkata, SAMENTA kekal komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi , Kementerian Sumber Manusia serta kementerian berkaitan bagi membantu PMKS beralih ke arah perusahaan berproduktiviti dan bernilai tinggi.
Katanya, langkah itu penting supaya PMKS berupaya menawarkan gaji yang wajar dan kompetitif kepada tenaga kerja negara. – MalaysiaGazette
















