KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong (SFC) memperkenalkan Aturan Penyerahan Tunggal bagi memudahkan proses penyenaraian serentak syarikat di Malaysia dan Hong Kong.
Aturan itu membolehkan pemohon yang ingin mendapatkan penyenaraian utama di Pasaran Utama Bursa Saham Hong Kong (SEHK) atau Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad, serta penyenaraian sekunder secara serentak di pasaran yang satu lagi, hanya membuat satu penyerahan permohonan berserta satu dokumen penyenaraian.
SC berkata, rangka kerja dwipenyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) itu merupakan pelaksanaan susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua badan kawal selia pada 23 Julai 2026.
Menurutnya, pendekatan tersebut dijangka mengurangkan pertindihan kawal selia dan kos pematuhan pada peringkat permohonan IPO.
Antara ciri utama rangka kerja berkenaan ialah penggunaan satu dokumen penyenaraian bagi memenuhi keperluan statutori dan penyenaraian kedua-dua pasaran.
Selain itu, pemohon boleh mengemukakan permohonan melalui satu proses penyerahan berpusat dan diselaraskan, sekali gus menghapuskan keperluan membuat penyerahan berasingan di Malaysia dan Hong Kong.
Kedua-dua badan kawal selia turut menubuhkan pasukan semakan dwipenyenaraian serentak serta saluran komunikasi khusus sebagai titik hubungan terus bagi pemohon dan penasihat mereka.
Langkah itu membolehkan penyeliaan kawal selia diselaraskan, pengurusan kes dilaksanakan secara aktif serta urusan rentas agensi dikendalikan dengan lebih lancar sepanjang proses penyenaraian.
SC, SFC dan SEHK juga mewujudkan proses semakan terkoordinasi bagi menyelaraskan garis masa, meminimumkan pertindihan serta melancarkan proses pertanyaan kepada pemohon.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pelaksanaan rangka kerja itu mencerminkan kerjasama kawal selia yang kukuh antara SC dan SFC serta komitmen bersama untuk menggalakkan keterhubungan pasaran modal yang lebih luas.
“Dengan melancarkan proses kawal selia dan mengurangkan penyerahan yang bertindih, inisiatif ini akan meningkatkan akses kepada peluang pengumpulan dana rentas sempadan dan meluaskan jangkauan pelabur.
“Menghubungkan Malaysia dengan Hong Kong, pusat kewangan global ketiga terbesar di dunia, akan terus memperkukuh daya tarikan kedua-dua pasaran sebagai destinasi pelaburan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Julia Leung berkata, inisiatif berkenaan merupakan susulan kepada MoU yang bertujuan memperkukuh keterhubungan pasaran modal serantau.
Katanya, laluan penyenaraian yang lebih jelas dan mudah diakses serta proses kawal selia yang diselaraskan membolehkan perniagaan di kedua-dua pasaran menjangkau kumpulan pelabur antarabangsa yang lebih pelbagai.
“Pada masa sama, ia membolehkan perniagaan mengakses sumber modal yang lebih besar sambil mengekalkan perlindungan pelabur yang kukuh,” katanya.
Bagi memperincikan aturan baharu itu, SC menerbitkan Guidance for Listing of Hong Kong Companies on the Main Market of Bursa Malaysia Securities Berhad, manakala SFC menerbitkan Circular on the Single Submission Arrangement for Dual Listings in Hong Kong and Malaysia.
Pemohon serta penaja atau penasihat mereka digalakkan berunding dengan SC, SFC atau SEHK sebelum mengemukakan permohonan rasmi bagi membincangkan struktur transaksi yang dicadangkan serta jadual waktu tentatif. – MalaysiaGazette
















