WASHINGTON – Sebuah mahkamah di Amerika Syarikat menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap seorang wanita di Tennessee pada hari Rabu, ketika dia dijadualkan menjalani hukuman berkenaan menerusi suntikan maut, kira-kira tiga dekad selepas membunuh seorang rakan sekelas.
Mahkamah Rayuan mengeluarkan keputusan pada saat-saat akhir dan menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap Christa Pike sehingga diberitahu kelak.
Pelaksanaan itu sepatutnya menjadi hukuman mati pertama terhadap seorang wanita di Tennessee dalam tempoh lebih 200 tahun.
Pike dijatuhi hukuman mati selepas disabitkan membunuh seorang rakan sekelasnya kira-kira 30 tahun lalu.
Sebelum ini, Tennessee dijadual melaksanakan hukuman mati terhadap Pike yang kini berusia 50 tahun.
Kejadian itu dilaporkan berlaku semasa dia berusia 18 tahun, bersama teman lelakinya memukul dan membunuh Colleen Slemmer, 19, di sebuah kem latihan pekerjaan untuk golongan muda.
Kes pembunuhan itu mendapat perhatian nasional selepas mayat Slemmer ditemukan dengan simbol yang dikaitkan dengan pemujaan syaitan, diukir pada bahagian dadanya.
Menurut Death Penalty Information Center, Pike bakal menjadi wanita pertama dihukum mati di Tennessee dalam tempoh lebih 200 tahun.
Di Amerika Syarikat, hanya 18 wanita telah dihukum mati sejak 1976, menurut pusat berkenaan.
Kes Pike, yang merupakan satu-satunya wanita dalam senarai hukuman mati Tennessee, mencetuskan perdebatan mengenai pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah muda.
Peguam Pike berhujah agar hukuman itu diringankan atas faktor usianya yang masih muda serta masalah kesihatan mental ketika melakukan pembunuhan tersebut.
“Dia berusia 18 tahun ketika melakukan jenayah itu dan mengalami masalah kesihatan mental yang serius,” menurut petisyen pengampunan yang dikemukakan kepada Gabenor Tennessee, Bill Lee, yang berkata beliau tidak akan campur tangan.
Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Selasa menolak permohonan saat akhir untuk menangguhkan hukuman mati Pike.
Permohonan itu antara lain berhujah, sejarah serangan seksual, gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) serta masalah darah yang dialami Pike bermakna pelaksanaan suntikan maut akan menyebabkan “penderitaan yang tidak perlu” kepadanya.
Pike dijadual menjalani hukuman mati menerusi suntikan maut pada 10 pagi (10 malam waktu Malaysia) di Riverbend Maximum Security Institution di Nashville.
Pakar hak asasi manusia bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa kerajaan Amerika Syarikat dan pihak berkuasa Tennessee supaya “segera menghentikan” pelaksanaan hukuman itu dan menukar hukuman mati Pike kepada hukuman lain.
“Pelaksanaan hukuman mati terhadap Pike akan menjadi kemuncak kepada perjalanan penderitaan fizikal dan psikologi yang teruk, termasuk penderaan ketika kanak-kanak serta hampir tiga dekad dikurung secara bersendirian di blok hukuman mati,” kata mereka. – Agensi
















