RIYADH – Seorang pegawai Arab Saudi menafikan laporan berita yang mengatakan wakil kerajaan itu menyertai satu pertemuan dengan Perdana Menteri Israel dan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi, pada Ahad.
Media Israel sebelum ini mendakwa pegawai Arab Saudi menghadiri pertemuan selepas rundingan antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden UAE, Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
Menurut laporan itu, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada perbincangan meliputi kerjasama keselamatan, Iran, kumpulan Houthi di Yaman serta sistem pertahanan serantau.
“Tiada pertemuan rasmi. Tiada rundingan. Tiada apa-apa pun. Pendirian kami terhadap Israel kekal tidak berubah,” kata seorang pegawai Arab Saudi kepada AFP pada Selasa.
UAE merupakan sekutu utama Amerika Syarikat di rantau berkenaan dan antara segelintir negara Arab yang mempunyai hubungan rasmi dengan Israel selepas menandatangani Perjanjian Abraham ketika penggal pertama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 2020.
Arab Saudi menegaskan bahawa negara itu tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel tanpa wujudnya laluan yang jelas ke arah penubuhan sebuah negara Palestin. -AFP
















