Dr Mohammad Aswad Ithnain

JOHOR BAHRU – Agenda Maju Johor 2030 tidak boleh diukur berdasarkan pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi semata-mata.

Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, Johor yang benar-benar maju mesti mempunyai rakyat yang sihat, produktif dan mampu menikmati hasil kemajuan negeri.

“Kesihatan rakyat ialah modal pembangunan Johor tanpa rakyat yang sihat, produktiviti akan terjejas dan aspirasi besar Maju Johor 2030 sukar direalisasikan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, perkembangan pelaburan dalam sektor kesihatan swasta di Johor ketika ini merupakan petunjuk positif keyakinan pelabur terhadap masa depan ekonomi negeri ini, khususnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Katanya, pembukaan fasiliti kesihatan baharu berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk orang muda Johor.

Peluang itu katanya, bukan sahaja melibatkan doktor dan jururawat, tetapi ahli farmasi, profesional kesihatan bersekutu, juruteknologi, tenaga pentadbiran, teknologi maklumat, penyelenggaraan serta perkhidmatan sokongan.

Menurutnya, perkembangan itu turut memberikan kesan limpahan kepada perusahaan kecil dan sederhana, pembekal peralatan perubatan, penyedia latihan serta industri perkhidmatan tempatan.

“Hospital swasta memainkan peranan penting dalam melengkapkan sistem kesihatan negara. Apabila pesakit yang berkemampuan atau mempunyai perlindungan insurans mendapatkan rawatan di sektor swasta, tekanan terhadap hospital serta fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dapat dikurangkan.

“Ini membolehkan sumber kesihatan awam terus diutamakan untuk golongan yang benar-benar memerlukannya,” ujar beliau.

Namun begitu katanya, pertambahan bilangan hospital tidak seharusnya menyebabkan masyarakat mengabaikan tanggungjawab menjaga kesihatan.

Hospital katanya, berperanan merawat penyakit, tetapi pencegahan bermula daripada diri sendiri.

Rakyat Johor perlu mengamalkan pemakanan seimbang, kekal aktif, mengelakkan rokok dan vape serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here