Bekas pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther (tengah) berjalan keluar selepas dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JUN 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan beberapa isu awalan didakwa berkaitan kehadiran Muhammed Yusoff Rawther di kediaman peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018, ditentukan melalui perbicaraan terbuka, bukan secara pengemukaan afidavit.

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan turut memerintahkan prosiding bagi menentukan lima isu awalan tersebut dijalankan secara teknologi jarak jauh menerusi keterangan lisan dan boleh diakses oleh pihak media menerusi aplikasi Zoom.

Menurut beliau, tidak dinafikan bahawa Muhammed Yusoff (plaintif) telah berpindah ke United Kingdom (UK) dan memohon suaka serta menyerahkan pasportnya kepada pihak berkuasa negara tersebut.

“Sebarang hujahan yang menyatakan dia tidak dapat memberi keterangan di negara ini, merupakan spekulasi semata-mata dan saya tidak akan membuat dapatan mengenainya.

“Perbicaraan secara teknologi jarak jauh berupaya mengurangkan risiko perbicaraan ditangguhkan ekoran kegagalan saksi untuk tampil memberi keterangan.

“Oleh yang demikian, penentuan isu awalan perlu dimulakan seberapa segera melalui prosiding secara Zoom yang membolehkan plaintif memberi keterangan meskipun pasportnya ditahan oleh pihak berkuasa UK, tanpa perlu menunggu kepulangannya.

“Plaintif tidak akan diprejudiskan jika isu awalan itu didengar dan ditentukan terlebih dahulu. Plaintif perlu membuktikan di mahkamah dia hadir di lokasi tersebut.

“Jika beliau berjaya, tindakan saman itu akan diteruskan dalam perbicaraan penuh. Sekiranya dia gagal, maka plaintif tidak perlu membuktikan dakwaan serangan yang dilakukan defendan terhadapnya,” ujarnya ketika membacakan alasan penghakiman lebih dua jam hari ini.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 5 November ini di hadapan hakim berlainan yang akan mendengar prosiding tersebut kerana beliau (Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah) akan berpindah ke Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada November ini.

Beliau berkata, sebarang susunan perbicaraan menerusi Zoom akan ditentukan oleh hakim baharu.

Dengan keputusan itu, prosiding lain dan selanjutnya dalam saman berkenaan ditangguhkan sementara menunggu keputusan terhadap lima isu awal tersebut.

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah memutuskan agar isu awalan didengar melalui perbicaraan menerusi keterangan lisan (viva voce evidence) sebelum perbicaraan saman sivil yang dikemukakan Muhammed Yusoff, dimulakan.

Lima isu awalan itu ialah termasuk sama ada Setiausaha Sulit Perdana Menteri ketika itu, Shukri Saad mengarahkan Muhammed Yusoff untuk menyampaikan sendiri dokumen ucapan ke kediaman Anwar di Bukit Segambut Dalam.

Mahkamah turut akan menentukan sama ada plaintif pergi bersama pengawal keselamatan Anwar ketika itu, Norafee Ahmad @ Dekdi dari pejabat defendan pukul 2.15 petang sebelum tiba di kediaman berkenaan pukul 3 petang, 2 Oktober 2018.

Isu lain ialah sama ada plaintif benar-benar berjumpa dengan Anwar pada tarikh berkenaan seperti yang didakwa dalam tuntutan samannya.

Pada 12 Ogos lalu, Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah mendengar hujahan peguam Christopher Leong yang mewakili Anwar serta Muhammad Rafique Rashid Ali bagi pihak Muhammed Yusoff.

Dalam saman tersebut, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, beserta faedah dan kos, atas dakwaan beliau diserang oleh Anwar di kediamannya hampir lapan tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here