KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mendesak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggantung tugas individu yang terlibat susulan kerugian RM157 juta melibatkan UiTM Holdings Sdn Bhd.
Pengarah Biro Hal Ehwal Universiti DAPSY Kebangsaan, Koh Ling Xian menegaskan, tindakan itu perlu diambil sementara siasatan bebas dijalankan bagi memastikan tiada konflik kepentingan, campur tangan pentadbiran atau risiko gangguan terhadap dokumen dan saksi.
“Apabila syarikat pelaburan milik universiti awam mencatat kerugian begitu besar, rakyat berhak tahu siapa membuat keputusan, siapa memantau dan siapa mesti bertanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan UiTM menyalurkan hampir RM260 juta kepada entiti komersialnya tanpa kelulusan Menteri Kewangan.
Ling Xian juga berkata, pendedahan PAC itu menunjukkan isu berkenaan bukan sekadar kegagalan pelaburan malah membabitkan persoalan serius mengenai kawalan dalaman, peranan lembaga pengarah dan mekanisme akauntabiliti.
“Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana RM42 juta bagi projek solar 50 megawatt di Gambang, Pahang didakwa digunakan bagi tujuan tidak berkaitan dengan projek tersebut.
“Pembayaran berkaitan projek berkenaan didakwa dibuat tanpa kelulusan lembaga pengarah,” katanya.
Ling Xian berkata, semua individu yang terbabit dalam rantaian keputusan berkaitan perlu dikenal pasti manakala peranan Lembaga Pengarah UiTM, pengurusan universiti dan pihak berkaitan termasuk kementerian sendiri perlu diperjelaskan.
“KPT perlu segera memaklumkan langkah pembetulan yang telah diambil, memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan mengambil tindakan pentadbiran terhadap individu yang masih memegang jawatan serta terlibat dalam rantaian keputusan berkaitan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, pihak yang bertanggungjawab mesti disiasat manakala mereka yang perlu mengelak konflik kepentingan mesti diketepikan sementara.
“Hanya dengan ketelusan dan tindakan tegas, keyakinan mahasiswa, warga universiti, alumni dan rakyat terhadap tadbir urus universiti awam dapat dipulihkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















