MELAKA – Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan dakwaan bahawa beliau telah menandatangani dokumen berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Tegas Ab Rauf, jika dokumen pembubaran itu telah ditandatangani, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat pada hari sama.
“Kalau sudah tanda tangan, hari inilah saya isytihar. Memang tiada tanda tangan apa-apa dokumen pembubaran. Kalau dah tanda tangan, hari inilah saya isytihar. Tapi memang tiada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Persimpangan Tiga Kepada Bulatan di Jalan Padang Kamunting sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini, hari ini.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, pertemuannya bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam semalam adalah perjumpaan biasa dan tidak ada kaitan langsung dengan sebarang keputusan mengenai pembubaran DUN.
ARTIKEL BERKAITAN: Pejabat Ketua Menteri nafi dokumen bubar DUN Melaka ditandatangani hari ini
Jelasnya, pertemuan itu juga adalah pertemuan pertama bersama Tun Mohd Ali pada bulan ini.
Ditanya sekali lagi mengenai tarikh pembubaran DUN Melaka, Ab Rauf terus berteka-teki dan memberi bayangan bahawa proses demokrasi itu akan berlaku selepas salah satu hari Jumaat namun tidak mendedahkan tarikh tepat.
“Ia akan berlaku pada satu Jumaat lagi,” katanya.
Ditanya juga sama ada Jumaat terakhir bulan ini sebagai tarikh pembubaran DUN, beliau hanya menjawab secara berseloroh.
“Entah, ada satu lagi lah. Tak tahu bila. Chase me if you can,” katanya.
Semalam, Pejabat Ketua Menteri Melaka menafikan penularan dakwaan Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menandatangani dokumen pembubaran DUN Melaka
Ketua Komunikasi Media Ketua Menteri Melaka, NorHafizah Mohd Sati berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai sebarang perjumpaan seperti yang didakwa dalam maklumat yang tersebar di aplikasi WhatsApp. – MalaysiaGazette
















