Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor Tahun 2026 ketika di Wyndham Acmar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2026.

KLANG – Kerajaan Selangor memperuntukkan kira-kira RM30 juta dalam tempoh dua tahun bagi membantu menyelesaikan pelbagai isu perumahan strata, termasuk masalah hak milik, penyelenggaraan, infrastruktur dan kemudahan asas.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan itu diperlukan bagi menangani masalah strata yang sebahagiannya berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan campur tangan pelbagai agensi kerajaan.

Menurut beliau, penyelesaian isu berkenaan bukan sekadar membabitkan bantuan kewangan, sebaliknya turut memerlukan pengurusan data, penyelarasan agensi dan pelan tindakan yang tersusun.

“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk membantu, tetapi kita memerlukan satu tempoh yang agak panjang kerana ia bukan sekadar soal bantuan.

“Ia juga melibatkan pengisian maklumat dan data. Bayangkan satu-satu kawasan strata mempunyai ratusan ribu, malah kadang-kala ribuan rekod yang perlu kita teliti,” katanya di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melakukan gimik pelancaran Logo Baharu Skim Ceria pada Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor Tahun 2026 ketika di Wyndham Acmar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Selangor Tahun 2026.

Amirudin berkata, kerajaan negeri kini menyediakan task force, data dan peruntukan bagi memastikan masalah yang dikenal pasti dapat diselesaikan secara berperingkat.

“Antara perkara yang diberi perhatian ialah isu hak milik, penyelenggaraan bangunan, kemudahan awam, sistem perparitan, bekalan air, kebersihan dan aspek lain yang memberi kesan kepada kehidupan penduduk,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga bersedia meningkatkan peruntukan pada tahun depan bagi membolehkan lebih banyak kawasan strata menerima bantuan.

“Kalau kita boleh buat lebih pantas dan lebih awal, kita akan cuba selesaikan sebahagiannya pada pertengahan tahun dan sebahagian lagi menjelang akhir tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here