KLUANG – Sebuah kilang kelapa sawit dikenal pasti sebagai punca pencemaran Sungai Sembrong di sini yang dikesan Isnin lalu dan sudah diarah dihentikan operasi.
Arahan itu dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Kluang selepas sudah menjalankan siasatan dan melakukan pemeriksaan di kilang berkenaan.
“Siasatan lanjut mendapati berlaku kerosakan pada pam di kolam pengolahan efluen (di kilang terbabit) sehingga menyebabkan limpahan efluen bercampur minyak masuk ke Sungai Sembrong.

“Kilang kelapa sawit tersebut telah diarah menghentikan operasi serta-merta dan dikehendaki menjalankan kerja-kerja pembersihan serta pembaikan. Tindakan susulan bagi penggantungan lesen juga sedang diambil,” menurut JAS dalam kenyataan.
Terdahulu portal ini melaporkan berlaku pencemaran di sungai tersebut hingga mengakibatkan ikan dan udang ditemui mati sekali gus menjejaskan pendapatan penduduk Orang Asli yang berdekatan.
JAS mengingatkan pihak industri, terutamanya operator kilang kelapa sawit agar sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan syarat-syarat lesen yang ditetapkan oleh pihaknya.

Tegas JAS, tindakan tegas termasuk menggantung atau membatalkan lesen akan diambil jika berlaku sebarang pelanggaran akta yang mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan bekalan air minuman atau kesihatan orang awam.
Orang ramai boleh melaporkan kes-kes pencemaran kepada JAS menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected].- MalaysiaGazette
















