Dr Zulkifli Hasan berucap di Majlis Pra-Pelancaran MTHQA Ke-66 di Pusat Dagang Dunia Kuala Lumpur  di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 50 peserta dari 38 negara bakal menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 6 Oktober depan selama lima hari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, jumlah itu membabitkan masing-masing seramai 25 orang peserta bagi Kategori Tilawah dan Hafazan al-Quran.

Menurut beliau, MTHQA kali ini membabitkan penilaian oleh barisan 12 juri berpengalaman dari dalam dan luar negara yang menyaksikan juara akan membawa pulang wang tunai sehingga RM40,000 kepada Johan bagi setiap kategori di samping hadiah iringan dan sijil penghargaan.

“Malaysia akan diwakili empat peserta iaitu dua peserta kayegori Tilawah al-Quran, Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dan Nur Syakura Mohamad Musa.

“Dua orang peserta membabitkan kategori Hafazan al-Quran iaitu Muhammad Izzul Afnan Sazali dan Dina Hadfina Mohd UmarulHisyam,” katanya ketika berucap di Majlis Pra-Pelancaran MTHQA Ke-66 di Pusat Dagang Dunia Kuala Lumpur  di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, MTHQA ke-66 mengangkat tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” bertepatan dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari sudut fizikal dan ekonomi tetapi juga kukuh dari segi nilai, akhlak serta kerohanian.

Katanya, MTHQA ke-66 turut mengetengahkan naratif “Nur Darul Quran” bagi meletakkan Darul Quran JAKIM bukan sahaja sebagai institusi tahfiz tradisional, tetapi sebagai Global Centre of Excellence yang melahirkan generasi huffaz profesional yang mahir dalam pelbagai disiplin seperti perubatan, kejuruteraan, dan sains data bagi mendepani cabaran industri masa hadapan.

“Pemilihan maqra juga diberikan perhatian supaya ayat-ayat yang diperdengarkan dapat mengangkat mesej yang dekat dengan realiti dan keutamaan negara, termasuk perpaduan, ta’ayush, ihsan, integriti, kemakmuran dan pembangunan insan.

“Kita mahu MTHQA menjadi platform yang bukan sahaja memperdengarkan keindahan bacaan al-Quran, tetapi juga menyampaikan mesej dan pedoman al-Quran yang relevan dengan kehidupan masyarakat hari ini,” katanya.

Sementara itu, Lembaga Tabung Haji melalui TH Travel & Services turut menaja hadiah berupa baucar umrah bernilai RM10,000 seorang kepada johan qari dan johan qariah, manakala YaPEIM menyumbang Tajaan Dinar Emas kepada kedua-dua johan lelaki dan wanita bagi kategori Tilawah al-Quran dan Hafazan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here