Abby (kiri) mendedahkan sebab suami pernah menampar Aslam satu ketika dulu.

KUALA LUMPUR – Pelakon Abby Abadi menitipkan ucapan sempena ulang tahun kelahiran anak bongsunya, Maria Danisha Hakim yang sarat dengan rasa kecewa sebagai seorang ibu.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 49, mengakui beliau amat kecewa apabila hubungan mereka kini tidak lagi seperti dahulu selepas melakukan pengorbanan sejak anak-anak masih kecil.

“Selamat ulang tahun, Maria Danisha Hakim. Terima kasih kerana menjadi anak mama selama 18 tahun ini. Mama tidak tahu mahu tulis apa sebab hati mama sudah hilang rasa sebenarnya.

“Tetapi mama mahu baby tahu, sejak dalam kandungan sehingga kamu semua kecil, mama menjaga anak-anak bagai menatang minyak yang penuh.

“Walaupun mama sebenarnya tidaklah berkemampuan sangat, tetapi apabila anak-anak sudah besar, mudah sungguh melupakan mama. Kalau mama sendiri boleh dibuang begitu sahaja, apatah lagi abahnya. Ada pun seakan-akan tiada,” luahnya di Instagram miliknya di sini.

Menurut pelakon drama Gerak Khas itu, tempoh hampir 12 tahun bersama bekas suaminya, Norman Hakim turut menyimpan pelbagai kisah pengorbanan serta kekecewaan termasuk soal kehidupan keluarga.

“Hampir 12 tahun abah bersama mama. Mama tanggung makan minum serta rumah menjadi tempat kita berteduh, beli hadiah mahal-mahal, tetapi akhirnya mama seakan-akan tidak wujud.

“Sejak baby berada dalam kandungan, sembilan bulan mama bawa perut ke sana sini mencari rezeki. Ketika itu baby hanya ada mama. Berbulan-bulan orang itu tidak pulang dan tidur di pejabat sehingga akhirnya berlaku perkara tertentu dan kami bercerai,” luahnya.

Paling penting kata Abby, meskipun melalui fasa rumah tangga penuh tekanan, dia memilih memaafkan segala perkara berlaku ketika itu kerana terlalu letih untuk terus memikirkan kemelut berkenaan.

“Mama maafkan segala-galanya sebab ketika itu mama terlalu penat. Penat sangat-sangat sampai tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

“Mama sangat kecil hati, tetapi tidak mengapa. Mama tetap mahu mengucapkannya selagi masih ada nyawa. Maafkan mama kerana tidak mampu menjadi (yang) terbaik, hebat atau kaya supaya anak-anak dapat hidup senang-lenang.

“Pada usia baby menginjak 18 tahun, lupakan mama terus pun tidak mengapa. Teruskanlah hidup bersama puppy dan momok. Semoga kekal hingga ke syurga Firdausi,” jelasnya.

Lebih mengejutkan, Abby turut menitipkan pesan keras di samping menyatakan penyesalan terhadap perkahwinannya dengan Norman.

“Kalau mama atau abah sakit atau meninggal dunia, jangan datang. Uruskan sahaja kehidupan sendiri. Ini pesan mama buat kali terakhir.

“Yang menyesal berkahwin dengan Norman Hakim,” tulisnya.

Untuk rekod, Abby dan Norman mendirikan rumah tangga pada 2002 sebelum bercerai pada 2009.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 22, Marissa Dania Hakim, 20, dan Danisha Hakim, 17.

Selepas perceraian, Abby mendirikan rumah tangga bersama Faizal, manakala Norman berkahwin dengan pelakon Memey Suhaiza pada 2011. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here