KUANTAN – “Dalam dunia ini, Malaysia mempunyai kad pengenalan diri paling moden”.
Itu kata seorang pesara polis, Ab Ghani Mahmud, 65, yang merupakan antara individu terawal memiliki kad pengenalan generasi ketujuh dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang di sini hari ini.
Warga emas itu meluahkan perasaan teruja dan bangga dengan pengeluaran MyKad generasi terbaru yang telah dinaik taraf daripada 23 kepada 53 ciri keselamatan dengan sokongan NFC.
Dia menyifatkan ia lebih moden dan selamat bagi memenuhi keperluan masa kini bagi semua warganegara Malaysia.
“Rasa bangga la nak tukar MyKad baru ini. Lebih-lebih lagi kita baru sahaja lepas meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Jadi lebih semangat la,” katanya yang hadir bersama isteri, Junaida Che Noh, 52.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sini mendapati proses permohonan dan pengeluaran MyKad generasi baharu secara keseluruhan lancar dan teratur dengan semua 18 kaunter dilihat beroperasi.
Menurut pasangan warga emas dari Balok Baru, Shafei Mamud, 67, dan Faridah Abu Hanifah, 64, proses permohonan mengambil masa tidak sampai lima minit dan hanya perlu menunggu selama sejam sebelum MyKad baharu itu siap.
Kedua-dua mereka merupakan individu pertama yang menerima MyKad generasi baharu di negeri ini.
“Semalam kami nampak pengumuman tu di media sosial dan memang ambil kesempatan untuk buat penukaran MyKad baharu hari ini.
“Saya sampai sini pukul 8 pagi, jadi kami orang pertama daftar. Nombor giliran 1001 dan 1002. Sekejap je tak sampai lima minit. Bangga la jadi orang pertama pakai MyKad baru di Pahang,” kata Shefei tersenyum.

Shafei yang merupakan pesara swasta memberitahu, dia dan isteri sudah berpengalaman mempunyai semua edisi kad pengenalan diri sejak tahun 1960-an lagi dan teruja melihat revolusi MyKad generasi baharu hari ini.
Seorang lagi pengunjung, Chew Wen Fatt, 50, yang merupakan ahli perniagaan mengambil cuti hari ini bagi urusan penukaran MyKad generasi baharu bersama anak lelakinya yang berusia 12 tahun.
“Kebetulan anak saya sakit tekak dan diberi cuti sakit, saya pun ambil cuti hari ini untuk bawa dia dapatkan MyKad generasi baharu ni.
“Memang ini kali pertama bagi dia (anak). Saya pun teruja,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPN Pahang, Mohammad Abdullah ketika ditemui di sini memberitahu, fasa kedua permohonan penukaran atau penggantian kepada MyKad generasi baharu akan dilaksanakan di Temerloh dan Raub selepas ini.
Buat masa ini, katanya, terdapat dua lokasi bagi orang awam untuk berbuat demikian iaitu di Bangunan UTC Pahang di Jalan Stadium dan di JPN Pahang bagi fasa pertama ini.
“Hari pertama pelaksanaan di sini (JPN Pahang), saya lihat tiada perubahan drastik dari segi perjalanan operasi di kaunter. Jumlah pengunjung pun sama sahaja seperti hari biasa.
“Bagaimanapun pihak kami menjangkakan kehadiran pengunjung bertambah pada hari Sabtu dan Ahad di UTC Pahang,” katanya.

Mohammad dalam pada itu turut mengambil kesempatan mengingatkan orang awam yang mahu membuat permohonan penukaran atau penggantian MyKad generasi baharu agar memastikan pakaian dipakai adalah berwarna gelap, warna rambut asal, kanta lekap tidak berwarna dan solekan tidak tebal.
Bagi mereka yang mahu mengubah alamat pada MyKad baharu juga diingatkan agar membawa dokumen sokongan seperti bil elektrik dan bil air dengan alamat terkini. – MalaysiaGazette
















