Warganegara Malaysia yang hadir untuk memperbaharui MyKad pada Sesi Pengeluaran MyKad Generasi Baharu di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2026.

PUTRAJAYA – Orang ramai yang hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini teruja mendapatkan MyKad versi baharu yang mula dikeluarkan secara rasmi hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, ada antara mereka sanggup mengambil cuti dan ada yang menggunakan masa lapang untuk mendapatkan MyKad baharu yang tampil dengan penambahbaikan daripada segi reka bentuk dan ciri keselamatan.

Sebahagian pengunjung menyifatkan pengeluaran MyKad baharu itu sebagai peluang yang tidak wajar dilepaskan khususnya bagi mereka yang masih menggunakan kad pengenalan lama, mengalami kerosakan pada cip atau perlu mengemas kini maklumat peribadi.

Bagi Mariam Othman, 42, pengeluaran MyKad baharu menjadi kesempatan untuknya menukar kad pengenalan lama yang masih menggunakan alamat terdahulu.

Mariam Othman. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2026.

Tambahnya, beliau sanggup mengambil cuti khas bagi menyelesaikan urusan berkenaan dan tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan MyKad generasi baharu pada hari pertama pengeluarannya.

Menurutnya, keputusan hadir ke JPN hari ini ternyata berbaloi apabila proses mendapatkan MyKad baharu disifatkan lebih pantas dan teratur.

“Saya mengambil peluang ini untuk tukar IC baharu, kebetulan IC saya memang alamat lama. Saya rasa peluang yang saya ambil ini satu tindakan yang betul sebab bila saya datang hari ini, lebih cepat daripada yang sebelum ini,” katanya.

Mariam turut menyambut baik penambahbaikan ciri keselamatan pada MyKad baharu selain berharap ia lebih tahan berbanding kad lama yang mudah bercalar dan adakalanya mengalami masalah pada cip.

Katanya, ciri keselamatan yang dipertingkatkan itu memberi keyakinan kepada pemegang MyKad terutama dalam urusan rasmi yang memerlukan pengesahan identiti.

Katanya, ketiadaan fungsi Touch ’n Go pada MyKad baharu juga bukan isu baginya kerana beliau sememangnya menggunakan kad Touch ’n Go secara berasingan.

Sementara itu, penerima MyKad baharu, Bahari Baharom, 68, dari Hulu Selangor mengetahui mengenai pengeluaran MyKad baharu menerusi media sosial sebelum mengambil kesempatan hadir ketika berada di rumah anaknya.

Bahari Baharom. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2026.

Menurutnya, maklumat berhubung pengeluaran MyKad baharu itu menarik perhatiannya kerana  mahu melihat sendiri perubahan yang diperkenalkan pada kad pengenalan berkenaan.

Katanya, proses mendapatkan kad pengenalan baharu kali ini lebih mudah dan pantas berbanding pengalaman sebelum ini selain menyifatkan reka bentuk MyKad baharu lebih menarik.

Dalam pada itu, Intan Syerina Ahmad Nizam, 22, turut tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan MyKad baharu pada hari pertama pengeluarannya.

Intan Syerina Ahmad Nizam. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2026.

Katanya, beliau bertolak dari rumah pukul 7 pagi dan tiba di JPN kira-kira 30 minit kemudian sebelum mendapatkan nombor giliran.

“Saya rasa ciri keselamatan dia lebih baik. Saya suka gambar dan tulisan yang sangat jelas selain ada kod serta beberapa pembaharuan berbanding MyKad lama.

Sementara itu, menurut Khairul Anuar Azizan, 47, beliau tidak mempunyai keperluan mendesak untuk menggantikan MyKad lama namun memilih menggunakan masa lapang yang ada untuk mendapatkan kad pengenalan baharu.

Khairul Anuar Azizan. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2026.

Katanya, pengeluaran MyKad generasi baharu memberi peluang kepada orang ramai untuk menukar kad masing-masing secara sukarela, terutama mereka yang mahu mendapatkan kad dengan reka bentuk dan ciri keselamatan terkini.

“Memang nak tukar kad baharu. Hari ini ada masa lapang, terus datanglah sini. Tukar baharu semuanya. Yang baharu ini nampak lebih banyak ciri-ciri yang bagus,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, JPN mengeluarkan MyKad versi baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 sebelum ini.

MyKad generasi baharu itu adalah evolusi identiti nasional yang melangkah seiring dengan perubahan zaman.

Pemohon di 40 cawangan JPN dan UTC terpilih yang dilengkapi kemudahan pusat cetakan boleh menerima MyKad Generasi Baharu pada hari sama.

Bagi cawangan tanpa kemudahan cetakan, MyKad baharu akan disiapkan dalam tempoh lima hari bekerja.

MyKad baharu tidak lagi dilengkapi fungsi Touch ‘n Go, namun perkhidmatan itu boleh digunakan melalui aplikasi eWallet Touch ‘n Go atau kad berasingan.

Pertukaran MyKad juga tidak menjejaskan baki atau kelayakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) manakala nombor kad pengenalan dan maklumat peribadi kekal sama.

Orang awam tidak diwajibkan menukar MyKad sedia ada dan permohonan penggantian tertakluk kepada prosedur serta kadar bayaran JPN.

Pemohon digalakkan membuat janji temu terlebih dahulu bagi memudahkan urusan di kaunter. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here