KUALA LUMPUR – Oktober diisytiharkan sebagai bulan al-Quran bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pelbagai program antaranya kempen membaca Al-Quran, tadabbur, tafakur, ta’assur, kelas tajwid, forum, seminar, khatam al-Quran serta aktiviti tilawah dan hafazan di selurun negara.
“Saya melihat kejayaan sebenar MTHQA bukan hanya diukur berdasarkan kemeriahan majlis atau jumlah penonton yang hadir tetapi sejauh mana mesej dan nilai al-Quran itu dapat dibawa pulang oleh masyarakat untuk diamalkan dalam kehidupan.
“Jika selepas MTHQA sebuah keluarga menjadi lebih dekat dengan al-Quran, jika anak-anak muda mencintai dan memahami al-Quran dan jika masyarakat menjadi lebih berintegriti, penyayang serta bersatu hasil daripada penghayatan nilai al-Quran, maka itulah kejayaan yang kita harapkan,” katanya pada majlis Pra Pelancaran MTHQA Tahun 1448/2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Zulkifli berkata, MTHQA ke-66 akan disinergikan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, selaras dengan usaha kerajaan memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam serta salah satu pusat kecemerlangan al-Quran di peringkat antarabangsa.
“Kita mahu para tetamu dan peserta dari luar negara bukan sahaja hadir untuk menyertai MTHQA tetapi juga membawa pulang pengalaman tentang Malaysia sebagai sebuah negara yang menghargai ilmu, budaya, kepelbagaian dan nilai-nilai Islam,” katanya.
MTHQA ke-66 akan berlangsung dari 6 hingga 10 Oktober 2026 di WTCKL. – MalaysiaGazette
















