UMNO Bahagian Rompin melancarkan `Tabung Solidariti BOSSKU'.

ROMPIN – UMNO Bahagian Rompin melancarkan `Tabung Solidariti BOSSKU’ bagi mengumpul sumbangan untuk membantu Datuk Seri Najib Tun Razak melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan susulan keputusan pengampunan bersyarat semalam.

Langkah itu dibuat selaras dengan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memaklumkan UMNO Pahang akan turut menyumbang kepada tabung berkenaan, selain mengalu-alukan ahli parti yang mahu menyumbang secara sukarela dan ikhlas melalui bahagian masing-masing.

Timbalan UMNO Bahagian Rompin, Datuk Ir. Razali Kassim memaklumkan, segala sumbangan daripada ahli dan penyokong boleh disalurkan menerusi nombor akaun yang disediakan oleh bahagian berkenaan menerusi akaun Maybank UMNO Bahagian Rompin bernombor 006128401824.

“Mudah-mudahan dengan asbab sumbangan daripada tuan-tuan dan puan-puan semua, maka pemimpin kesayangan kita, Datuk Seri Najib Razak akan segera dibawa pulang untuk menjalani baki tahanan menerusi Perintah Tahanan di Rumah (House Arrest),” katanya.

Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan media memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 telah membuat keputusan terhadap permohonan pengampunan Najib.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib termasuk membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Sementara itu, Wan Rosdy sebelum ini menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Pahang menyambut perkembangan tersebut dengan penuh kesyukuran, menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati segala proses yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan urusan kutipan dan penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan secara telus, teratur serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Pelancaran tabung di peringkat Rompin itu sekali gus menjadi antara usaha bahagian berkenaan menyahut seruan UMNO Pahang untuk membantu mengumpulkan sumbangan secara sukarela bagi memenuhi syarat kewangan yang ditetapkan dalam pengampunan bersyarat tersebut.

Tambah Ir. Razali, soladiriti UMNO Pahang terhadap Najib tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menolak atau mencabar proses undang-undang dan ketetapan institusi negara.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah itu turut bersetuju dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang jelas menunjukkan pendirian parti itu untuk menyatakan kebersamaan kepada Najib dan keluarga, namun pada masa sama menghormati proses serta ketetapan yang telah ditetapkan.

“Bagi saya, perkara paling penting ialah kita menjaga adab dalam membicarakan isu ini kerana ia melibatkan institusi diraja, proses Perlembagaan dan juga keputusan yang mempunyai implikasi undang-undang.

“Solidariti yang dizahirkan tidak bermakna kita menolak proses yang telah berlangsung.

“Sebaliknya, kita perlu menghormati segala ketetapan yang dibuat,” katanya.

Mengulas mengenai hasrat UMNO Pahang turut menyumbang kepada tabung bagi membantu melunaskan denda RM50 juta, Razali berkata, sumbangan berkenaan perlu dilaksanakan secara sukarela dan ikhlas.

Katanya, ahli UMNO Pahang yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui UMNO Bahagian masing-masing mengikut saluran yang ditetapkan.

“Kita kumpul sedikit demi sedikit, yang penting, ia dilakukan secara sukarela, ikhlas dan dengan penuh tanggungjawab.

“Pada masa sama, urusan kutipan hendaklah dilaksanakan secara telus serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Saya melihat pendirian Naib Presiden UMNO sebagai satu bentuk kebersamaan, tetapi dalam masa sama mengingatkan semua pihak supaya terus menjaga adab dan menghormati institusi serta proses undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here