KUANTAN – Bermula sebagai hobi bertani sejak kecil, Izudin Muhamad Amin, 49, kini menanam kira-kira 300 pokok nanas premium jenis MD2 di ruang konkrit atas bumbung rumahnya di SpringVale Residences Kotasas, di sini.
Ketika ditemui, beliau yang juga Pengarah Eksekutif Masjid Bandaraya Kotasas itu memberitahu, projek tanaman nanas itu diusahakan bersama isterinya sejak Oktober 2021 ketika era pandemik Covid-19.
“Ketika itu saya Pengerusi Persatuan Penduduk di SpringVale Kotasas. Disebabkan suka bertani, jadi saya cuba fikirkan aktiviti dan idea bermanfaat untuk menggalakkan pertanian bandar dalam kalangan penduduk di sini.
“Selepas saya dan isteri pertimbang semua aspek termasuk kekangan tanah untuk bertani, jadi keluarlah idea di luar kotak ini,” katanya.

Bermula dengan 100 sulur nanas yang diperoleh dari Pontian, Johor, Izudin memberitahu, kesemua anak pokok itu ditanam dalam campuran tanah di dalam polybag di pekarangan rumahnya sebelum diangkat menggunakan kren ke atas bumbung.
Beliau turut mengakui kaedah itu menuntut penggunaan kos yang agak tinggi, tetapi berbaloi selepas hasil berjaya dituai dalam tempoh selepas 12 hingga 14 bulan.
“100 pokok tu semuanya berbuah. Dapat dalam 200 kilogram juga. Tahun November 2022 selepas buah nanas diperoleh, kita gandakan tanaman menjadi 200.
“Tapi kami beri ruang untuk komposisi tanah berehat dalam tempoh dua hingga tiga bulan sebelum memulakan tanaman baharu,” katanya.
Lebih menarik, Izudin tidak menjual kesemua nanas yang dituai, sebaliknya mengagihkan secara percuma kepada jiran-jiran dan sahabat-sahabatnya.
Katanya, selain dapat berkongsi rezeki, beliau mahu ia jadi pemangkin semangat agar lebih ramai menceburkan diri dalam aktiviti pertanian di kawasan perumahan yang mempunyai kekangan tanah seperti di sini.
Selian nanas, beliau turut menanam pokok markisa yang turut befungsi menghijaukan ruang di sekitar kediamannya. – MalaysiaGazette
















