KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dijangka mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan pelbagai perkembangan terbaharu politik tanah air.
Ini termasuk keputusan Lembaga Pengampunan pagi tadi yang membenarkan pengampunan bersyarat termasukmenjalani baki hukuman secara tahanan di rumah dan denda RM50 juta.
Difahamkan, mesyuarat berkenaan pada awalnya dijadualkan bagi membincangkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, termasuk pendirian dan perkembangan politik yang dibangkitkan dalam perhimpunan itu.
Namun, perkembangan terbaharu membabitkan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib dijangka turut menjadi antara perkara yang mendapat perhatian dalam pertemuan berkenaan.
Sumber parti berkata, kepimpinan tertinggi PH dijangka menerima taklimat serta mengadakan perbincangan mengenai keputusan pengampunan itu, termasuk implikasinya terhadap pendirian PH dan kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
Difahamkan, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bertemu kepimpinan tertinggi gabungan itu, termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, lewat petang ini.
“Isu Najib dan kedudukan DAP dalam kerajaan dijangka menjadi antara perkara utama yang dibincangkan,” kata sumber.
Seorang sumber tertinggi DAP mendedahkan kepada MalaysiaGazette bahawa Loke sudah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan, susulan perkembangan terbaharu berkaitan kes Najib.
“Anthony sudah membuat keputusan untuk berundur. Sekarang hanya menunggu proses dan perkembangan seterusnya. Malah difahamkan beliau akan umum DAP keluar kabinet,” ujarnya.
Juga dakwa sumber itu, Anwar masih mahu DAP untuk menyokong kerajaan kerana tindakan keluar itu akan memberikan ‘tekanan kepada kerajaan.
“DAP walaupun keluar namun tetap akan menyokong Anwar dan kerajaan beliau,” ujarnya.
Seorang lagi sumber tertinggi DAP mendakwa pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, sudah mula mengemas dan menyelesaikan urusan akhir.
Difahamkan, keputusan sama turut dikatakan telah diambil oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Bagaimanapun, maklumat mengenai keputusan Gobind dan Kor Ming itu masih belum dapat dipastikan atau disahkan secara rasmi.
Walaupun persoalan berhubung pelaksanaan tahanan rumah Najib, termasuk syarat pembayaran denda RM50 juta, masih menjadi perhatian, sumber mendakwa DAP sudah membuat keputusan berhubung kedudukannya susulan perkembangan itu.
Apa bentuk keputusan berkenaan dan sama ada ia akan diumumkan secara rasmi masih belum diketahui.
Sumber berkata, sebarang keputusan atau hasil perbincangan kepimpinan PH hanya dijangka diketahui lewat petang atau malam ini, selepas pertemuan dan perbincangan selesai. -MalaysiaGazette
Najib dapat pengampunan bersyarat: Tahanan rumah, bayar denda RM50 juta
















