Simbolik perasmian lampu isyarat berkenaan disempurnakan Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka, hari ini.

ALOR GAJAH – Penduduk dan peniaga sekitar Pengkalan Balak di sini menarik nafas lega apabila lampu isyarat yang dinanti-nantikan sejak lebih dua tahun lalu bagi mengurangkan kemalangan akhirnya direaliasi sendiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mangsa kemalangan di persimpangan itu, Muhammad Faris Moktar, 22, berkata, pemasangan lampu isyarat di persimpangan Taman Idaman Jaya, Kawasan Perindustrian Masjid Tanah dan Taman Bidara Permai itu memberi makna besar kepadanya.

Muhammad Faris Moktar

Menurutnya, walaupun tidak mengalami kecederaan serius dalam nahas pada Jun 2024 itu, dia akan berhati-hati setiap kali melalui kawasan tersebut yang sebelum ini tidak mempunyai lampu isyarat.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri kerana prihatin dengan masalah penduduk sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di persimpangan ini termasuklah saya sendiri yang pernah menjadi mangsa kemalangan.

Penduduk dan peniaga sekitar Pengkalan Balak menarik nafas lega apabila lampu isyarat yang dinanti-nantikan sejak lebih dua tahun lalu bagi mengurangkan kemalangan akhirnya direaliasi sendiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

“Mujurlah ketika itu, cuma motor yang rosak dan saya tidak mengalami kecederaan serius berbanding ada ramai juga mangsa lain cedera teruk akibat kemalangan di persimpangan ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu, simbolik perasmian lampu isyarat berkenaan disempurnakan Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di sini hari ini.

Dr Norasiken Bakar

Peniaga warung yang terletak di simpang empat itu, Dr Norasiken Bakar, 60, berkata, lampu isyarat itu amat penting terutamanya bagi mengawal pergerakan kenderaan di simpang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Balak itu.

Dakwanya, terdapat sekurang-kurangnya dua kemalangan berlaku sebulan di hadapan simpang berkenaan termasuklah anak kenalannya yang koma sehingga kini.

“Keadaan lebih membimbangkan apabila kenderaan dari kawasan perindustrian keluar ke jalan utama tanpa sempat dilihat pengguna jalan raya yang lain.

“Saya sendiri pernah menyaksikan kejadian kemalangan di simpang ini setika berada di warung sampai tak sanggup lagi melihat mangsa kemalangan menahan kesakitan.

“Terima kasih kepada Datuk Rauf atas tanggungjawab beliau untuk mempercepatkan diadakan lampu isyarat ini,” katanya.

Kemudahan dianggarkan memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk termasuk komuniti di kawasan industri dan taman perumahan, selain pengguna jalan raya yang melalui laluan simpang empat di Pengkalan Balak, Alor Gajah, Melaka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir Mohamad Salzeli Moktar berkata, kawasan berkenaan juga dikenal pasti sebagai lokasi kemalangan atau ‘blackspot’ dengan kekerapan kemalangan selain mempunyai jumlah trafik yang tinggi.

“Memang pernah berlaku beberapa kemalangan sebelum ini menyebabkan perlunya ada lampu isyarat di sini apatah lagi laluannya yang semakan sibuk.

“Kemudahan ini dianggarkan memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk termasuk komuniti di kawasan industri dan taman perumahan, selain pengguna jalan raya yang melalui laluan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here