KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) diminta memberi kefahaman mengenai pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak, hari ini.
Presiden BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, penjelasan itu penting memandangkan keputusan yang dibuat Lembaga Pengampunan hari ini mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat.
“Saya berharap rakyat diberi ruang untuk menzahirkan pandangan mereka selagi dalam batas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah Rafizi, Anwar dan pimpinan PH termasuk PKR, DAP serta Amanah perlu menjelaskan perkara itu dan tidak sekadar mengulangi hujah bahawa keputusan berkenaan berada di luar kawalan mereka.
Katanya, sekurang-kurangnya syarat-syarat tahanan di rumah perlu diumumkan secara terperinci supaya sebarang pelanggaran yang nyata boleh diambil tindakan.
“Biarlah rakyat biasa menjadi mata dan telinga masyarakat agar pelepasan tahanan di rumah ini dilaksanakan secara tegas mengikut syarat-syarat yang dikenakan,” katanya.
Rafizi turut mengaitkan perkara itu dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menurutnya meninggalkan kesan mendalam kepada sebahagian rakyat Malaysia.
Beliau berkata, usaha memastikan amanah rakyat dan integriti pentadbiran negara perlu diteruskan, termasuk mendidik golongan muda mengenai apa yang berlaku berkaitan skandal berkenaan.
“Kepada rakyat Malaysia yang mempunyai rasa mendalam mengenai penyelewengan 1MDB dan rentetan isu akibat skandal itu, saya berharap kita sama-sama sedar bahawa tanggungjawab menjaga amanah rakyat itu adalah satu kerja berterusan yang tidak akan berhenti.
“Sementara saya berlapang dada dengan keputusan yang telah dibuat, sebaik-baiknya proses tahanan di rumah itu berjalan dengan senyap untuk tidak mengundang pelbagai reaksi yang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















