ALOR GAJAH – Air mata diseka, suara bergetar dan ada kesedihan yang cuba disembunyikan di sebalik senyuman.
Itulah terserlah di wajah dua ibu tunggal mengenangkan program Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang melabuhkan tirai di DUN Tanjung Bidara hari ini.
Bagi Nor Haishah Alib, 59, dan Sarimah Abu, 61, penutupan program yang memberi ruang kepada rakyat bertemu secara terus dengan wakil rakyat itu bukan sekadar berakhirnya sebuah program.

Sebaliknya bagi mereka, ia meninggalkan rasa sebak kerana tidak mahu peluang ‘tanpa protokol’ bertemu Exco dan ADUN untuk menyuarakan masalah rakyat terhenti begitu sahaja.
Nor Haishah, ibu tunggal enam anak dari Pengkalan Balak tidak dapat menyembunyikan perasaannya ketika ditanya sama ada dia akan merindui HEBAT dan WRUR hasil idea Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Mestilah kita sebagai rakyat rasakan HEBAT banyak menolong kita, kita mestilah rindu. Kalau boleh tiap-tiap tahun mesti ada.
“Yelah, tolong rakyatkan, yang mana susah-susah tu… macam dekat kampung-kampung ke…baiki jalan ke, betulkan rumah ke, apa ke…bagus,” katanya.

Nor Haishah berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette pada program HEBAT yang menjadi penutup program WRUR peringkat negeri Melaka di DUN Tanjung Bidara, hari ini yang turut dihadiri Ab Rauf.
Ketika ditemui, Nor Haishah turut meluahkan harapan supaya program itu dapat diadakan secara berkala kerana ia memberi peluang kepada golongan memerlukan termasuk ibu tunggal, untuk menyampaikan permohonan secara terus.

“Mungkin kalau boleh tiap-tiap tahun buat macam inilah kalau ada program macam ni. Baik, bagus untuk rakyat,” katanya.
Nada sama dikongsikan Sarima, ibu tunggal dua anak yang menjaga ibunya yang terlantar .
Pengundi DUN Pengkalan Batu itu berkata ini adalah kali pertama dia menyertai program berkenaan dan tertarik dengan usaha murni kerajaan menyantuni masalah rakyat di peringkat akar umbi.

Ditanya sekiranya HEBAT tidak diteruskan selepas ini, Sarimah cuba menahan sebak sebelum mengakui program itu akan kekal sebagai kenangan.
“Yalah, (kalau) tak ada lepas ni… tak apalah tapi bila dah dalam kenangan kita, kena teruskanlah apa yang ada. Mak cik memang suka… sebaklah,” katanya.
Menurut Sarimah, apa yang paling dihargainya ialah pendekatan kerajaan yang mendekati rakyat tanpa mengira kedudukan atau kaum.
“Seronok… seronok sangat. Mak cik senang sangat, tak pernah dapat macam ni.
“Makc ciksuka sangat, bersyukur sangat sebab dia (Ab Rauf) pun banyak membantu rakyat. Dia orang berjiwa rakyat, tak kira orang susah, orang kaya, dia semua tolong, tak kira bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















