Karnival Ragbi Johor 2026 Edisi Ke-14 bakal berlangsung dari 25 hingga 27 September 2026.

JOHOR BAHRU – Karnival Ragbi Johor 2026 Edisi Ke-14 kembali dengan lebih meriah apabila sebanyak 108 pasukan sekolah dan kelab dari seluruh Malaysia bakal berentap dalam kejohanan ragbi yang menjadi antara acara utama dalam kalendar ragbi kebangsaan.

Karnival ini akan berlangsung selama tiga hari, dari 25 hingga 27 September 2026, bertempat di Stadium Ragbi Johor, Kompleks Sukan Mount Austin, Johor.

Karnival yang dianjurkan oleh Kesatuan Ragbi Negeri Johor (JRU) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) ini menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh negara dalam empat kategori utama iaitu bawah 16 tahun lelaki, bawah 14 tahun lelaki, bawah 11 tahun lelaki dan bawah 16 tahun perempuan.

Edisi kali ini turut menyaksikan penyertaan pasukan Sekolah Sukan Negeri Tun Hussein Onn (THOR) dari Johor yang hadir dengan misi mempertahankan kejuaraan selepas muncul juara berganda pada edisi terdahulu bagi kategori bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun lelaki.

Kehadiran pasukan-pasukan berprofil tinggi dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak dijangka memberikan saingan yang lebih kompetitif, sekali gus memperlihatkan perkembangan dan peningkatan kualiti sukan ragbi di peringkat akar umbi.

Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, penganjuran Karnival Ragbi Johor ini membuktikan kejohanan ini semakin kukuh sebagai salah satu platform penting dalam pembangunan sukan ragbi negara.

Menurut beliau, penganjuran karnival ini juga selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor, khususnya dalam Tahun Melawat Johor 2026, serta usaha untuk terus mengembangkan ekosistem ragbi di negeri Johor.

“Melalui penganjuran kejohanan seperti ini, kita dapat menyediakan platform yang lebih luas kepada pemain-pemain muda untuk mendapatkan pengalaman pertandingan, mencungkil bakat baharu serta memperkukuhkan pembangunan ragbi di peringkat akar umbi.

“Harapan kami agar Karnival Ragbi Johor terus berkembang dan pada masa akan datang mampu menjadi salah satu karnival ragbi yang dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah turut berada dalam kalendar ragbi antarabangsa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here