KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya menjelaskan status Brad Tapp yang kini sah menyarung jersi Harimau Malaya selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan kelayakan pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu untuk mewakili negara.
Menerusi poster yang dikongsi di media sosial, Tapp, 25, adalah pemain warisan kelahiran Sydney, Australia yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi ibunya yang dilahirkan di Pulau Pinang, sekali gus memenuhi laluan kelayakan untuk mewakili Harimau Malaya.
Pengesahan FIFA itu diterima FAM selepas badan induk bola sepak dunia berkenaan selesai meneliti status kelayakan Tapp berdasarkan peraturan dan dokumen yang dikemukakan, sekali gus menjawab persoalan mengenai latar belakang serta kelayakannya menyarung jersi negara.
Tapp yang menyertai JDT daripada kelab Australia, Central Coast Mariners pada Julai lalu, kini menjadi antara pilihan baharu buat pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe di bahagian pertahanan.
Kehadirannya turut memberikan lebih banyak pilihan kepada Cheng Hoe untuk membentuk benteng negara, termasuk digandingkan bersama Dion Cools, Harith Haiqal dan Ubaidullah Shamsul mengikut keperluan taktikal pasukan.
Selain berkemampuan beraksi sebagai pertahanan, keupayaan Tapp untuk mengisi posisi tengah turut memberikan fleksibiliti kepada barisan kejurulatihan dalam merangka pendekatan berbeza sepanjang kejohanan.
Pengesahan kelayakan Tapp sebelum ini hadir bersama penyerang JDT, Bergson da Silva, yang turut mendapat lampu hijau FIFA untuk mewakili Malaysia.
Bagaimanapun, pada ketika itu status Manuel Hidalgo masih dalam proses semakan FIFA.
Hidalgo kemudian turut disahkan layak mewakili Malaysia selepas FAM menerima pengesahan rasmi FIFA pada 16 September lalu.
Dengan Tapp kini sudah mendapat pengesahan rasmi, pemain berkenaan berpeluang membuat penampilan bersama Harimau Malaya dalam Piala FIFA ASEAN 2026, dengan Malaysia dijadual membuka kempen menentang Bangladesh pada 25 September ini sebelum bertemu Indonesia tiga hari kemudian dan Singapura pada 1 Oktober. – MalaysiaGazette
















