ISKANDAR PUTERI – Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal melancarkan JDT+ iaitu platform penstriman digital rasmi bagi memberi peluang kepada penyokong menyaksikan liputan eksklusif di sebalik tabir skuad Harimau Selatan itu pada 22 Oktober ini.
Platform yang boleh diakses menerusi laman web jdtplus.com itu bakal menampilkan dua dokumentari khas iaitu Untamed dan Outbound yang memaparkan perjalanan kelab serta perjuangan mereka di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pelancaran JDT+ itu bertujuan merapatkan jurang antara kelab dan penyokong dan pada masa sama membolehkan peminat memahami usaha serta cabaran sebenar yang dilalui para pemain serta pengurusan.
“Selama ini penyokong hanya melihat pemain di atas padang, seolah-olah mereka sukar didekati. Menerusi JDT+, kami mahu berkongsi realiti sebenar JDT, bukan sahaja dari sudut bola sepak malah dari aspek peribadi dan kemanusiaan.
“Kami mahu penyokong merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada keluarga besar kelab ini,” katanya dalam sidang akhbar pra-pelancaran JDT+ di Ibu Pejabat JDT di sini hari ini.
JDT+ ialah platform keahlian premium JDT dengan kandungan original yang dikeluarkan mengikut musim, harga dan pelan keahlian akan diumumkan semasa pelancaran pada 22 Oktober ini.
Garcia berkata, produksi original utama pertama JDT+, Untamed iaitu sebuah dokumentari menyusuri kebangkitan JDT sebagai sebuah kuasa bola sepak paling digeruni di Asia Tenggara.
Dokumentari berdurasi 76 minit itu menampilkan visi dan kepimpinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang membentuk semula identiti dan aspirasi kelab, kisah perjuangan dan cabaran di ACLE bakal ditayangkan pada 22 November depan.
“Untamed memfokuskan kepada jiwa dan semangat Tunku Mahkota Ismail sejak mengambil alih kelab pada 2012 termasuk pelbagai dugaan, keputusan sukar serta visi baginda dalam membina empayar JDT sehingga menjadi gergasi bola sepak Asia Tenggara.
“Sementara itu, dokumentari Outbound pula merupakan siri tiga episod yang berdurasi 25 minit setiap satu yang bakal menemui penonton kira-kira sebulan selepas pelancaran Untamed.
“Outbound memberi fokus kepada perjalanan JDT dalam saingan ACL. Ia merangkumi emosi, sesi latihan serta perlawanan yang ditempuhi pasukan dengan satu matlamat iaitu untuk terus berkembang dan mengejar impian menjulang trofi di peringkat Asia,” katanya.
Garcia memberitahu, penetapan harga langganan secara bulanan dan tahunan yang akan diumumkan kelak tidak berteraskan keuntungan komersial semata-mata sebaliknya lebih kepada usaha memberikan nilai tambah kepada penyokong.
Tambahnya, selepas pelancaran JDT+, pihaknya turut merancang untuk melancarkan dalam bentuk aplikasi tersebut dalam beberapa bulan lagi.
“Langkah ini juga selari dengan visi Tunku Mahkota Ismail untuk terus memperkasa jenama JDT sebagai sebuah organisasi sukan global yang serba moden, merangkumi pelbagai disiplin sukan lain seperti ragbi, polo, permotoran dan bola jaring,” katanya.- MalaysiaGazette
















