Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Selepas puas berteka-teki ‘beberapa kali Jumaat’ bagi tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, penantian itu akhirnya terjawab apabila Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, memilih esok untuk membubarkan DUN.

Malah, Ab Rauf yang diasak wartawan mengenai sebab memilih 23 September sebagai tarikh pembubaran sempat berseloroh apabila mengingatkan bahawa tarikh yang menjadi teka-teki sebelum ini akhirnya tidak menjadi kenyataan.

“Kenapa saya pilih bubar esok? Kenapa tidak…?” katanya berseloroh ketika ditanya wartawan pada sidang media selepas mengumumkan pembubaran DUN Melaka di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca yang mungkin melibatkan banjir atau bencana sepanjang tempoh proses pilihan raya.

“Kita mengambil kira faktor alam. Mungkin ada banjir, mungkin ada bencana.

“Jadi kita mengambil kira banyak sudut. Jadi persediaan pun kita telah bersedia lebih awal kerana pemilihan tarikh pembubaran kita letak hari ini, tapi pemilihan tarikh pilihan raya terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau berkata, warkah pembubaran DUN akan diserahkan kepada Pengarah SPR Melaka hari ini untuk dibawa ke ibu pejabat SPR bagi tindakan selanjutnya.

Mengakhiri sidang media, Ab Rauf sekali lagi menyentuh mengenai penantian media yang sejak beberapa hari lalu memburu jawapan berhubung tarikh pembubaran DUN.

“Dah puas hati dah semua? Kau buru-buru aku lama-lama hari ini dapat jawapan eh.

“Tak sampai hari Jumaat, lusa ni dah ada dah,” katanya sebelum mengucapkan terima kasih kepada media dan rakyat Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here