KUALA LUMPUR – Tiga daripada lima pelakon yang terlibat dalam pementasan teater yang didakwa mempersenda Rukun Negara pada 2018 ditahan polis bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, ketiga-tiga mereka ditahan di Selangor dan Johor kira-kira tiga hari lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Ketiga-tiga mereka sudah diberi jaminan polis selepas keterangan selesai dirakam dan pemeriksaan mendapati tiada kandungan pementasan berkenaan dalam telefon bimbit atau gajet mereka.
“Daripada lima pelakon yang dikenal pasti, seorang sudah meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.
Katanya, pementasan itu berlangsung secara tertutup di Penang Art Center (PAC), Pulau Pinang pada 2018 dan tiada laporan polis dibuat ketika itu berkaitan persembahan berkenaan.
Mengulas tiga pelakon yang ditahan, Kumar berkata, mereka masing-masing berusia 28, 29 dan 47 tahun.
Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, polis akan melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan nasihat lanjut.
Terdahulu, sebuah video pementasan yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara tular dalam media sosial.
Video itu menimbulkan kemarahan banyak pihak yang mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan tindakan tegas diambil terhadap individu terlibat. – MalaysiaGazette
















