KUALA LUMPUR – Trend baharu jenayah eksploitasi seksual membabitkan kanak-kanak dalam talian disifatkan semakin membimbangkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ia susulan penahanan lapan kanak-kanak dalam Op Pedo 3.0 yang dijalankan pada 14 hingga 16 September lalu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di seluruh negara.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati ada antara kanak-kanak terbabit bukan sahaja mengakses bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), malah menghasilkan kandungan berbentuk animasi dan menjualnya dalam komuniti dalam talian yang mempunyai kecenderungan sama.
Menurutnya, siasatan turut mendapati kandungan berkenaan dijual dengan harga antara RM50 hingga RM60 menerusi pelbagai kaedah pembayaran digital termasuk e-dompet, PayPal dan Touch ’n Go.
Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca pendedahan kanak-kanak terbabit kepada aktiviti berkenaan, termasuk kemungkinan pengaruh daripada persekitaran dalam talian dan teknologi baharu.
“Penglibatan kanak-kanak dalam elemen ini sangat membimbangkan dan peranan ibu bapa untuk mengawasi penggunaan media sosial serta aktiviti dalam talian anak-anak perlu dipertingkatkan.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dilakukan, namun elemen kesedaran perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya selepas sesuatu operasi dijalankan,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, sejak 2024, pihaknya telah melancarkan Op Pedo 1, Op Pedo 2 dan Op Pedo 3 yang membawa kepada penemuan sebanyak 1,573,193 fail CSAM dan bahan pornografi.
“Satu jumlah yang sangat atau amat besar, dan perkara ini membimbangkan pihak polis dan juga MCMC.
“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak untuk memainkan peranan supaya dapat meningkatkan kesedaran sosial dan moral.” tegasnya – MalaysiaGazette
















