MELAKA – Kepentingan rakyat dan kesinambungan pengurusan negeri akan menjadi asas utama dalam menentukan bentuk kerjasama politik dengan parti lain selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuatkuasa esok.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, rundingan dengan mana-mana parti yang terlibat akan diadakan selepas proses pembubaran DUN selesai termasuk menilai tawaran yang dikemukakan.
“Pastinya saya akan ada rundingan-rundingan dengan mana-mana parti yang terlibat dan akan menilai perbincangan kita dan tawaran-tawaran yang diberikan.
“(Tapi) kita selesaikan dulu ini (pembubaran) lepas itu nanti baru kita cerita pasal parti, mana hala tuju kita,” katanya pada sidang selepas mengumumkan pembubaran DUN Melaka di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Menurutnya, kerjasama politik yang bakal dibentuk bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya perlu mengambil kira bagaimana negeri itu dapat terus ditadbir demi kepentingan rakyat.
“Yang paling utama, bukan untuk kepentingan saya tetapi kepentingan bagaimana kita nak menguruskan negeri ini untuk rakyat Melaka, demi rakyat, untuk rakyat,” katanya.
Ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo pada PRN kali ini, Ab Rauf berkata, perkara itu hanya akan dimaklumkan selepas rundingan dengan parti berkaitan dimuktamadkan.
“Tak, itu saya beritahu nanti bila kita dah putuskan rundingan semua,” katanya yang juga Pengerusi BN Melaka.
Ab Rauf turut memberi bayangan bahawa keputusan mengenai barisan calon juga belum boleh dibuat ketika ini termasuk sama ada wajah sedia ada akan dikekalkan atau digantikan dengan muka baharu.
DUN Melaka akan dibubarkan berkuat kuasa esok, 23 September 2026 selepas Ab Rauf menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam bagi memohon perkenan pembubaran.
Pembubaran itu menandakan berakhirnya penggal DUN Melaka manakala tarikh PRN seterusnya akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ab Rauf berkata, warkah pembubaran akan diserahkan kepada Pengarah SPR Melaka hari ini untuk dibawa ke ibu pejabat SPR bagi tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette
















