GEORGE TOWN – Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu terus diperkukuh demi memastikan kestabilan pentadbiran serta kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu selama ini berjalan dengan baik dan konstruktif.
“Sepanjang tiga tahun menjalankan amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya tidak pernah menghadapi sebarang masalah dalam hubungan kerja dengan pimpinan dan rakan daripada PKR serta DAP di sini.
“Sebaliknya, hubungan kerja yang terjalin adalah berasaskan sikap saling menghormati, persefahaman, komunikasi yang baik serta keutamaan terhadap kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Rashidi, perbezaan latar belakang parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bekerjasama sekiranya matlamat utama adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik dan rakyat mendapat manfaat.
Beliau berkata, kerjasama yang dibina di Pulau Pinang sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 adalah satu bentuk persefahaman politik yang perlu dihargai dan diperkukuhkan.
Katanya, keputusan PH Pulau Pinang untuk mengekalkan wakil BN dalam pentadbiran negeri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang turut mencerminkan kepentingan kesinambungan kerjasama berkenaan.
“Dalam masa yang sama, saya ingin menyatakan sokongan kepada pendirian di peringkat Pusat bahawa Kerajaan Perpaduan perlu terus dipertahankan dan diperkukuhkan sehingga tamat penggal, demi memastikan kestabilan pentadbiran negara, kesinambungan dasar serta tumpuan kerajaan kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Kestabilan politik bukan sekadar mengenai parti atau jawatan, sebaliknya kemampuan untuk bekerja bersama, menghormati perbezaan dan menyelesaikan perkara yang memberi kesan kepada rakyat.
“Saya berharap semangat kerjasama dan persefahaman antara PH dan BN di Pulau Pinang akan terus dipelihara, demi kestabilan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette
















