Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri itu ketika ini.

Beliau berkata, pembubaran DUN tidak memberi manfaat sekiranya rakyat Negeri Sembilan sekali lagi menolak Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Tiada gunanya bubar DUN N9 kerana rakyat N9 telah menolak PH secara total. Untuk apa bubar DUN N9 jika PH ditolak sekali lagi dan berulang pula kemelut hari ini.

“Sakit kepala tapi makan ubat demam buat apa?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhli turut mempersoalkan tindakan pembubaran DUN Negeri Sembilan sebelum ini yang didakwanya berlaku sebelum tempoh matang tiga tahun.

“Sebelum ini, kamu juga yang bubar DUN N9 walhal tidak cukup usia DUN tempoh matang tiga tahun. Hari ini kamu desak pula bubar DUN N9, apa faedahnya?” katanya.

Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan sekiranya pilihan raya baharu dilihat sebagai jalan penyelesaian.

“Daripada bubar DUN N9 lebih baik bubar Parlimen terus. Perdana Menteri baharu nanti akan mainkan peranan lebih baik dalam menyelesaikan kemelut di N9,” katanya sambal meminta gesaan tersebut dihentikan.

Semalam, Parti Amanah mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi merungkai kemelut politik negeri yang didakwa semakin kronik sehingga berlaku pertembungan antara pihak Eksekutif dan Istana.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan berikutan perkembangan terbaharu membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, serta kestabilan pentadbiran kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here