Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Muhammad Faiz Fadzil.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi merungkai kemelut politik negeri yang didakwa semakin kronik sehingga berlaku pertembungan antara pihak Eksekutif dan Istana.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan berikutan perkembangan terbaharu membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, serta kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, Amanah mengambil maklum perkembangan apabila Tuanku Muhriz dilaporkan menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, atas alasan memungkiri sumpah.

“Amanah berpendirian untuk tidak mencampuri kemelut kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memandangkan urusan tersebut harus diselesaikan mengikut lunas undang-undang, Perlembagaan dan Adat Negeri Sembilan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Faiz mendakwa pergolakan politik semasa mempunyai kaitan dengan tindakan pihak tertentu yang mahu menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada takhta.

“Perkara itu diperkukuhkan dengan kewujudan proklamasi yang ditandatangani Menteri Besar sejurus selepas PRN Negeri Sembilan ke-16, iaitu pada 3 Ogos 2026.

“Situasi politik semasa bertambah meruncing apabila Menteri Besar menolak titah tersebut secara terbuka,” katanya.

Faiz turut mendakwa, UMNO gagal menghormati kedudukan institusi diraja Melayu apabila mengambil langkah yang menjurus kepada usaha menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Perkembangan itu bertentangan dengan semangat PRN Negeri Sembilan ke-16 didakwanya tidak diberikan mandat oleh rakyat untuk mengganggu-gugat kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

Sehubungan itu, Amanah mendesak Menteri Besar memohon pembubaran DUN Negeri Sembilan sebagai jalan untuk mendapatkan penyelesaian politik terhadap kemelut yang berlaku.

“Amanah berpandangan pertembungan antara Eksekutif dan Istana adalah bertentangan dengan roh dan prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

“Kami percaya pergolakan politik yang gagal diuruskan dengan baik oleh UMNO boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ni sorang lagi bangang, semua ni berpunca daru kebodohan PH sebelum ni. Sepatutnya tak perlu dipolitikkan sebab benda ni biar dibincang dan dibuat keputusan oleh pihak yang lebih arif berkenaaan adat istiadat negeri sembilan. Orang luar terutama puak PH jangan jadi batu api n bodoh sangat.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here