Rosmawati dan Marina (tengah) dalam program pelepasan benih ikan di Sungai Sembrong di Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang, Kluang hari ini

KLUANG – Tiada lagi laporan penemuan spesis ikan piranha yang ditemui di sungai-sungai di Johor sehingga kini walaupun ada pemancing dakwa menemuinya.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Rosmawati Ghazali berkata, secara fizikalnya terdapat ciri-ciri ikan piranha di sungai di negeri ini namun peringkat jabatan perlu sampel untuk siasatan dan kajian supaya boleh membuat pengesahan.

“Setakat ini kita belum ada dapat sebarang laporan kehadiran ikan pirana. Kita harap tidak ada ikan tersebut sebab ia sangat potensi mengganggu ikan-ikan asli dan dikhuatiri akan merubah dari segi rantaian makanan serta menjejaskan biodiversiti perikanan darat di perairan Johor,” katanya.

Rosmawati berkata demikian ketika ditemui selepas pelepasan benih ikan di Sungai Sembrong di Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Pembangunan Masyarakat Orang Asli, Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Marina Ibrahim.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Perikanan Pahang menyiasat dakwaan seorang pemancing yang dilaporkan mendaratkan ikan piranha perut merah (Pygocentrus nattereri) di Empangan Klau, Raub, Pahang iaitu negeri sebelah Johor.

Terdapat pemancing di negeri ini yang mendakwa menemukan spesies ikan tersebut tetapi masih tidak dapat memastikan kesahihannya.

Katanya, bagi memastikan sungai di negeri ini selamat komuniti nelayan darat perlu menjadi mata dan telinga jabatan itu bagi menyalurkan maklumat sebarang kegiatan yang boleh menyebabkan habitat hidupan sungai hilang serta terjejas pembiakannya.

Selain menggunakan kaedah tangkapan yang dilarang seperti penggunaan bubu naga punca kehilangan hidupan sungai turut berlaku akibat pencemaran, katanya.

Justeru katanya, nelayan darat perlu bersama-sama dalam mykomuniti Perikanan (myKP) untuk menyalurkan apa sahaja berkaitan pencemaran sungai agar tindakan dapat dilakukan segera.

“Sekiranya ada terlihat percemaran atau ada pihak yang tidak bertanggungjawab melepaskan ikan asing ataupun menggunakan peralatan-peralatan yang dilarang, kita minta memang kerjasama daripada nelayan sendiri untuk memaklumkan kepada kita.

“Perkara-perkara ini yang mungkin menyebabkan habitat ikan terjejas dan kawasan pembiakan ikan itu juga akan terhapus seterusnya menyebabkan berlaku pengurangan tangkapan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here