Gambar hiasan.

SINGAPURA – Warga Malaysia yang didakwa menjadi dalang sindiket bagi menyelaras operasi pengubahan wang haram di Singapura dihadapkan ke mahkamah di sini, hari ini kerana bersubahat membantu pihak lain mengekalkan hasil kegiatan jenayah.

Chin Hock Khan, 27, yang dikenali dengan nama gelaran “Da Xiang”, turut didakwa menyelaras penipuan dengan menyamar sebagai pegawai kerajaan, menurut kenyataan polis sebelum ini.

Dia didakwa bekerjasama dengan beberapa individu lain antara Mac dan Jun lalu untuk mengumpul wang tunai serta barangan emas daripada individu yang berpangkalan di Singapura.

Barangan berharga itu dipercayai merupakan hasil kegiatan jenayah, namun dokumen mahkamah tidak mendedahkan nilainya.

Mahkamah turut memerintahkan Chin agar direman di Bahagian Polis Pusat dan kesnya akan disebut semula pada 30 September.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000 (RM1.6 juta), atau kedua-duanya.

Dalam kenyataannya, polis berkata Chin dipercayai bertanggungjawab merekrut dan menyelaras warga Malaysia lain untuk menjalankan operasi penipuan serta pengubahan wang haram di Singapura.

Siasatan awal mendapati dia dipercayai bertemu sekurang-kurangnya empat ‘runner’ warga Malaysia pada beberapa kesempatan di negara asal mereka.

Chin juga memberikan mereka tugasan, menyelaras pengeluaran wang tunai melalui mesin juruwang automatik (ATM) serta mengagihkan pendapatan mereka daripada pekerjaan berkenaan.

Polis menambah, atas arahan Chin, ‘runner-runner’ terbabit mengambil barangan emas daripada mangsa penipuan dan menyerahkannya kepadanya di Johor Bahru.

Chin dipercayai bertanggungjawab melakukan penggubahan wang haram sekurang-kurangnya S$500,000 hasil penipuan dan kegiatan haram.

Pegawai Komando Siber Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia kemudian bekerjasama dalam kes itu.

Pihak berkuasa Singapura mengeluarkan waran tangkap terhadap Chin sebelum dia ditahan di Malaysia pada 22 September.

Dia diserahkan kepada SPF pada hari yang sama. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here