GEORGE TOWN – Kerajaan dijangka terus memberi keutamaan kepada usaha melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak dalam Belanjawan 2027, susulan harga komoditi itu yang masih berada pada paras tinggi ketika ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan ketika ini terus berusaha menstabilkan serta mengurangkan impak kenaikan harga minyak terhadap rakyat menerusi mekanisme subsidi bersasar.
Menurutnya, ketidaktentuan harga minyak ketika ini turut dipengaruhi keadaan geopolitik di Asia Barat yang masih bergolak.
“Setakat ini kita lihat komitmen kerajaan walaupun harga minyak masih terumbang-ambing malah berada pada high side ataupun kedudukan yang tinggi akibat ketidaktentuan di Asia Barat ini masih bergolak.
“Sudah pasti peranan kerajaan kita dapat lihat bagaimana kita menstabilkan dan juga mengurangkan impak kenaikan harga minyak itu kepada rakyat melalui BUDI95,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis KL20 Penang 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini, hari ini.
Tambah Akmal Nasrullah, pengumuman berkaitan diesel sebelum ini juga menunjukkan usaha kerajaan menyediakan perlindungan kepada rakyat kebanyakan, meskipun pelaksanaannya dibuat secara bersasar dengan jumlah atau had tertentu.
“Walaupun berbentuk targeted ada jumlah yang kita had atau hadkan tetapi perkara itu cukup untuk membolehkan urusan dan juga aktiviti ekonomi berjalan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu harga minyak merupakan antara cabaran yang perlu diberi perhatian dalam merangka Belanjawan 2027, khususnya dalam usaha mengimbangi perlindungan kepada rakyat dengan komitmen fiskal kerajaan.
Katanya, kerajaan perlu memastikan bantuan melalui subsidi minyak dapat melindungi rakyat, namun pada masa sama mempunyai ruang fiskal untuk terus memacu pertumbuhan serta pembangunan negara.
“Maka sebab itu dari segi pengumuman ataupun belanjawan yang akan dibentangkan tak lama lagi saya dapat jangkakan bahawa ini antara perkara-perkara yang mana Menteri Kewangan dan juga Perdana Menteri perlu mengetengahkan cabaran ini.
“Supaya dalam keadaan harga minyak masih tinggi dan juga penghujungnya masih tidak menentu, negara masih boleh terus merancang soal pembangunan dan juga soal kemajuan ekonomi kita,” katanya. – MalaysiaGazette















