Sebahagian tetamu dan peserta Konvensyen Ekonomi Halal Digital 2026 di Teknologi Park Malaysia, Bukit Jalil pada 15 September lalu.

KUALA LUMPUR –  Majlis Ekonomi Halal (MEH) bersama MIMOS Holdings memperkukuh agenda pembangunan ekonomi halal negara menerusi Konvensyen Ekonomi Halal Digital 2026 di Teknologi Park Malaysia, Bukit Jalil di sini pada 15 September lalu.

Konvensyen tersebut menghasilkan DEKLARASI MEH 2026 yang mendokong aspirasi kerajaan dalam menggubal Dasar Halal Negara di samping memperkenalkan agenda strategik Ekonomi Halal Digital.

Konvensyen menghimpunkan barisan pemimpin dan tokoh daripada sektor ekonomi, keusahawanan, teknologi serta industri halal bagi membincangkan hala tuju dan inisiatif baharu dalam memperkukuh ekosistem halal Malaysia, kata satu kenyataan MEH hari ini.

Ucaptama pula disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub yang turut membentangkan cadangan Resolusi Deklarasi MEH 2026.

Antara perkara utama dalam cadangan deklarasi ialah sokongan terhadap aspirasi Kerajaan MADANI dalam menggubal Dasar Halal Negara selain iltizam untuk menjayakan Agenda Ekonomi Halal Digital.

Agenda tersebut merangkumi tiga inisiatif utama iaitu Inisiatif Blockchain Halal Nasional (National Halal Blockchain Initiative – NHBI) dengan Projek Qurban Rahmah sebagai projek rintis, World Halal Book of Records dan Quranic AI.

Cadangan Deklarasi MEH 2026 kemudiannya dikemukakan kepada para peserta konvensyen untuk mendapatkan persetujuan sebelum majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Canselor Genovasi University College, Tunku Profesor Dr Fauzi Abdul Malek.

Majlis juga menyaksikan permasyhuran Deklarasi MEH 2026 dengan bacaan deklarasi rasmi disampaikan oleh Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDMM), Datuk Dr Nor Hasnal Hashmi.

Selain agenda dasar dan teknologi halal, konvensyen turut menyaksikan pertukaran nota kerjasama antara MEH dan Hizam Unggul Sdn. Bhd. bagi menerokai penubuhan Modal Teroka Keterjaminan Makanan Negara (National Food Security Venture Capital).

MEH diwakili oleh setiausaha agungnya, Dr Helmi Ibrahim manakala Hizam Unggul Sdn. Bhd. diwakili oleh pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohd Rossahizam Mat Sakin.

Dalam perkembangan berkaitan, turut diadakan showcase National Halal Policy Leadership Award yang telah diterima MEH pada 24 Ogos 2026 sempena World Islamic Tourism & Trade Exhibition (WITEX) 2026.

Trofi berkenaan diserahkan oleh Fauzi kepada Helmi sebagai simbolik pengiktirafan MEH menjuarai penggubalan Dasar Halal Negara.

Konvensyen MEH 2026 memperlihatkan penekanan terhadap gabungan dasar, teknologi digital, inovasi dan kerjasama strategik sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan ekosistem ekonomi halal serta keterjaminan makanan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here