Situasi terkawal di hadapan pintu masuk Penjara Kajang selepas tujuh hari menjadi tumpuan susulan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang bakal menjalan baki hukuman secara tahanan di rumah, ketika tinjauan di Penjara Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2026.

KAJANG – Memasuki hari ketujuh selepas pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak diumumkan, tiada perkembangan baharu dapat dilihat di Penjara Kajang setakat tinjauan MalaysiaGazette hari ini.

Keadaan di sekitar pintu masuk utama penjara itu sehingga jam 12 tengah hari tadi kekal tenang tanpa sebarang pergerakan luar biasa yang menunjukkan bekas Perdana Menteri itu akan dibawa keluar untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Beberapa petugas media masih berada di sekitar lokasi bagi mengikuti perkembangan terbaharu, namun setakat ini tiada kenderaan atau pergerakan rasmi yang dikaitkan dengan proses pemindahan Najib dikesan.

Najib masih menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu, membolehkan beliau menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Antara syarat berkenaan ialah pembayaran denda RM50 juta. Peguam Najib dilaporkan berkata, tiada tempoh khusus ditetapkan untuk bayaran itu, manakala selagi denda berkenaan belum dijelaskan, Najib kekal di Penjara Kajang.

Situasi terkawal di hadapan pintu masuk Penjara Kajang selepas tujuh hari menjadi tumpuan susulan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang bakal menjalan baki hukuman secara tahanan di rumah, ketika tinjauan di Penjara Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2026.

Sebelum ini, Jabatan Penjara Malaysia turut memaklumkan pihaknya masih menunggu notifikasi bertulis rasmi berhubung keputusan pengampunan itu sebelum sebarang tindakan lanjut dapat ditentukan.

Sementara itu, tumpuan media turut terarah ke kediaman Najib di Langgak Duta yang sebelum ini telah diperiksa pegawai Jabatan Penjara bagi menilai persediaan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah.

Namun, sehingga tinjauan hari ketujuh ini, keadaan di Penjara Kajang kekal seperti biasa dan belum ada petunjuk jelas mengenai bila Najib akan dibawa keluar dari penjara berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here