KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan remaja lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lalu.
AGC dalam satu kenyataan hari ini memakluman, notis rayuan itu dikemukakan di Mahkamah Rayuan, Selasa lalu.
“Setelah mempertimbangkan keputusan Yang Arif Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut, Jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Rayuan pada 22 September 2026 bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut,” katanya.
Pada 14 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid melepas dan membebaskan remaja berusia 15 tahun itu daripada pertuduhan membunuh mangsa berusia 16 tahun selepas mendapati tertuduh tidak siuman ketika kejadian.
Beliau memerintahkan remaja itu ditempatkan serta menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak atas perkenan oleh Sultan Selangor.
Dia didakwa membunuh rakan sekolahnya di tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap individu yang berumur di bawah 18 tahun.
Peguambela remaja itu, Kitson Foong berkata, mahkamah mendapati pembelaan berjaya membuktikan syarat mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan pembelaan atas alasan tidak waras, termasuk aspek ketidakwarasan dari sudut perubatan dan undang-undang. – MalaysiaGazette
















