Keadaan runtuhan tanah di tebing setinggi 4.57 meter berhampiran Blok D, Apartment Damai Perdana, Cheras, selepas berlaku kebocoran paip air bawah tanah malam tadi ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Cheras. Foto AIMAN RIZAL, 23 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Tempoh pengosongan kediaman bagi penduduk yang terjejas akibat insiden tanah runtuh di Blok D, Pangsapuri Damai Perdana di Bandar Damai Perdana, Cheras, bergantung kepada keputusan laporan teknikal bagi menentukan tahap keselamatan struktur bangunan terbabit.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 6 Tan Kah Hoe berkata pemerhatian dan penilaian oleh agensi berkaitan yang bermula semalam diteruskan hari ini, manakala laporan teknikal penuh dijangka dikeluarkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Beliau berkata agensi yang terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan MPKj.

“Saya meminta agensi-agensi berkenaan supaya laporan itu disiapkan secepat mungkin. Mereka memaklumkan ia dijangka mengambil masa beberapa hari,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas mengenai gangguan bekalan air di seluruh kawasan pangsapuri terdiri daripada empat blok yang menempatkan keseluruhan 360 unit kediaman itu, Tan memaklumkan bekalan telah mula disambungkan semula ke Blok A dan Blok B pagi ini.

“Blok D memang tiada bekalan air, manakala sambungan semula ke Blok C pula mengambil sedikit masa, kerana pihak berkaitan sedang mengenal pasti laluan jajaran paip terbabit,” katanya.

Mengenai perkembangan penduduk yang terjejas, Tan berkata sebanyak 15 keluarga warga tempatan kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Desa Baiduri setakat semalam, berbanding empat keluarga pada peringkat awal kejadian.

“Buat masa ini, urusan penginapan dan makanan penduduk yang terjejas dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selain itu, kawalan keselamatan di rumah-rumah yang terlibat pula dibantu pihak polis bagi memastikan keselamatan kawasan berkenaan terjamin,” katanya.

Pada Selasa lepas, kira-kira 80 penduduk membabitkan 45 unit kediaman di Blok D pangsapuri terbabit diarahkan berpindah serta-merta, susulan runtuhan tebing bukit berhampiran blok berkenaan pada kira-kira 8.00 malam, dipercayai berpunca daripada kebocoran air bawah tanah. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here