KUANTAN – Penerokaan haram membabitkan lebih 7,000 hektar kawasan di Hutan Simpan Kekal (HSK) yang berlaku di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera dipercayai menyebabkan ketirisan hasil kepada Kerajaan Negeri Pahang yang dianggarkan mencecah RM387.8 juta.
Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Dr. Grippin Anak Akeng berkata, jumlah ketirisan berkenaan adalah berdasarkan anggaran nilai RM55,400 bagi setiap hektar tanah diteroka.
“Jika merujuk nilai stumpej bagi Negeri Pahang, RM55,400 per hektar didarab dengan nilai keluasan tanah yang diteroka iaitu dianggarkan 7,000 hektar, bersamaan dengan RM387.8 juta.
“Bagaimanapun, nilai ini merupakan anggaran kasar dan jumlah sebenar hanya dapat ditentukan selepas bancian terperinci dilaksanakan di lapangan,” katanya memetik laporan Pahang Media.

Sementara itu, katanya, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali mengesahkan jumlah keluasan kawasan terlibat selari dengan pelan pemetaan kawasan penerokaan yang dilakukan pihaknya.
“Berdasarkan pelan pemetaan yang dilakukan UPNP, kawasan disyaki diteroka di dalam Hutan Simpan Kekal Tasek Bera melibatkan tanaman sawit, getah, kelapa, tanaman kontan, serta pembukaan baharu adalah seluas kira-kira 17,701 ekar bersamaan 7,163 hektar.
“Kawasan yang diteroka ini juga berdasarkan semakan imej satelit melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA),” katanya.
Kerajaan negeri telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan bersepadu di HSK Tasek Bera bermula 14 September lepas setelah lebih 7,000 hektar kawasan hutan yang digazetkan di bawah Konvensyen Ramsar diteroka secara haram. – MalaysiaGazette
















