MELAKA – Kekuatan sebenar kerjasama politik bukan terletak pada lambang semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kepercayaan antara parti, kesediaan bertolak ansur dan kemampuan mencari titik persamaan.
Sehubungan itu, Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Melaka, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh berkata, notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) terhadap Perikatan Nasional (PN) tidak wajar dilihat sebagai isu yang boleh menjejaskan kerjasama antara BN dan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, persoalan sama ada perkembangan itu akan memberi kesan kepada kerjasama BN-PN perlu dilihat berdasarkan realiti politik di lapangan, termasuk hubungan yang telah lama terbina antara parti-parti komponen di dalam PN, terdiri daripada Pejuang, Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Bagi saya, logo PN merupakan lambang menyatukan secara visual beberapa parti yang mempunyai latar belakang, pendekatan dan ideologi yang berbeza.
“Kepelbagaian itu sendiri mempunyai nilai kerana setiap parti mempunyai kekuatan dan kelompok masyarakat yang mampu mereka dekati. Tetapi kekuatan sebenar sesebuah kerjasama politik bukan terletak pada lambang semata-mata,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, seperti dalam sukan bola sepak, kemenangan bukan kerana lencana di dada jersi sebaliknya ditentukan oleh pemain di atas padang, keserasian, disiplin, strategi dan kemampuan mereka bermain sebagai satu pasukan.
“Pemain boleh bertukar kelab dan jersi boleh bertukar, tetapi kemampuan pemain tidak hilang hanya kerana lambangnya berubah dan begitu juga dalam politik.
“Sebab itu, apa pun keputusan berkaitan kedudukan PN nanti, saya tidak melihat persoalan logo semata-mata sebagai penentu sama ada kerjasama politik boleh atau tidak boleh berlaku di Melaka,” katanya.
Mengulas lanjut, Sheikh Ikhzan bagaimanapun berkata, notis RoS terhadap PN memohon penjelasan mengapa gabungan parti itu tidak patut dibatalkan dalam tempoh 30 hari adalah satu proses yang perlu dihormati.
Menurutnya, ia perlu diberikan ruang untuk diselesaikan mengikut peraturan serta undang-undang dan masyarakat tidak seharusnya mendahului proses tersebut.
“Namun beberapa tahun kebelakangan ini pun, Pejuang Melaka sering terlibat dalam program dan aktiviti bersama rakan-rakan PN daripada PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Hubungan di peringkat negeri dan akar umbi telah lama terbina dengan cukup baik, malah dalam banyak keadaan kami bergerak bersama dengan menggunakan logo parti masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu tegasnya, beliau percaya parti-parti komponen dalam PN mempunyai keupayaan dan jaringan politik masing-masing untuk membina persefahaman dengan rakan-rakan politik yang lain sekiranya terdapat titik persamaan.
Semalam, RoS mengeluarkan notis yang meminta agar PN memberikan penjelasan mengapa gabungan parti itu tidak patut dibatalkan dalam tempoh 30 hari. – MalaysiaGazette
















