KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha memansuhkan syarat pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus bagi institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Presidennya, Borhan Ahmad Zakaria berkata, syarat berkenaan perlu dikekalkan sebagai antara instrumen bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam sektor pendidikan yang strategik terus terpelihara.
Menurut beliau, sebarang perubahan dasar tidak seharusnya menyebabkan pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera semakin terhakis.
“Jangan gunakan istilah seperti penyelarasan, liberalisasi atau reformasi untuk menghalalkan dasar yang akhirnya boleh menyebabkan penguasaan dan pemilikan Bumiputera semakin terhakis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana agenda memperkasa Bumiputera dapat dicapai sekiranya ruang pemilikan dalam sektor strategik seperti pendidikan semakin dikurangkan.
Katanya, ketika jurang ekonomi masih belum selesai dan pemilikan kekayaan Bumiputera masih perlu diperkukuhkan, langkah memansuhkan syarat ekuiti itu wajar diteliti semula.
“Pendidikan ialah sektor strategik. Ia bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi merupakan industri bernilai besar yang melibatkan modal, pemilikan aset, peluang pekerjaan, pelaburan dan pembentukan kuasa ekonomi,” ujarnya.
Borhan berkata, sekiranya Bumiputera tidak diberikan ruang untuk menjadi pemilik dan peneraju dalam sektor berkenaan, mereka dikhuatiri hanya akan menjadi pekerja dan pengguna dalam industri sendiri.
Sehubungan itu, Perkasa menegaskan, syarat ekuiti 30 peratus bukan bertujuan mengambil hak pihak lain, sebaliknya menjadi salah satu mekanisme untuk memastikan penyertaan Bumiputera dalam sektor strategik tidak dipinggirkan.
“Jangan sentuh hak dan kepentingan Bumiputera sesuka hati.
“Kerajaan tidak boleh hanya bercakap mengenai agenda Bumiputera di pentas rasmi, tetapi pada masa sama mengambil keputusan yang boleh mengecilkan ruang Bumiputera dalam sektor strategik,” katanya.
Beliau berkata, Perkasa mahu dasar yang nyata bagi memperkukuh pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera, bukan sekadar slogan.
Dalam pada itu, Perkasa turut mendesak kerajaan menarik balik dan menyemak semula sebarang keputusan untuk memansuhkan syarat ekuiti Bumiputera 30 peratus berkenaan.
“Jika kerajaan benar-benar serius memperkasakan Bumiputera, jangan kurangkan ruang Bumiputera, sebaliknya tambah dan kukuhkan ruang tersebut,” katanya.
Perkasa turut menuntut supaya sebarang perubahan dasar berkaitan pemilikan institusi pendidikan swasta dibuat secara telus serta melalui perbincangan dengan pertubuhan Bumiputera dan pihak berkepentingan.
Borhan berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri sekiranya kepentingan Bumiputera terus diketepikan dan akan menyuarakan bantahan melalui saluran yang sah.
“Ini bukan soal kepentingan satu pertubuhan. Ini soal masa depan ekonomi Bumiputera, soal pemilikan, maruah dan masa depan anak cucu kita.
“Ekuiti Bumiputera 30 peratus mesti dikekalkan. Bumiputera mesti menjadi pemilik, bukan sekadar penonton,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















