KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihaknya mencadangkan pelarian Myanmar etnik Rohingya dibenar mengambil lesen memandu seperti yang tular menerusi akaun media sosial `Along Auto Parts’.
JPJ dalam kenyataan memaklumkan, kandungan bertajuk “JPJ Cadang Benarkan Rohingya Ambil Lesen Memandu” itu menyerupai berita rasmi sehingga berpotensi mengelirukan orang ramai.
Menurutnya, JPJ memandang serius tindakan mana-mana pihak yang menghasilkan, mengubah suai atau menyebarkan kandungan dengan menggunakan nama, identiti atau imej jabatan berkenaan.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah menjejaskan kredibiliti JPJ,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, JPJ memaklumkan laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan serta tindakan sewajarnya diambil berhubung penyebaran kandungan berkenaan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum dapat dipastikan kesahihannya.
JPJ turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa merujuk saluran rasmi jabatan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih. – MalaysiaGazette
















