KUALA LUMPUR – Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 20 sen seliter kepada RM5.05 dan RM4.57 seliter bagi tempoh 24 September hingga 30 September 2026.

Manakala harga runcit diesel tanpa subsidi naik sebanyak 15 sen seliter kepada RM5.42 seliter bagi tempoh tersebut.

Kementerian Kewangan berkata, kekangan bekalan produk petroleum bertapis terus mengekalkan harga pasaran pada paras tinggi.

Gangguan terhadap pengeluaran produk petroleum bertapis di Rusia, antara pengeksport diesel terbesar dunia, terus mengeruhkan keadaan.

Eksport diesel dari Asia Barat pula telah merosot lebih 50% dari Mac hingga Ogos 2026.

Menurutnya, pemulihan kapasiti penapisan global adalah penting bagi penyederhanaan harga produk petroleum.

Pada masa sama, pemulihan aliran petroleum melalui Selat Hormuz boleh membantu mengurangkan tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum bertapis.

Namun, ketidaktentuan geopolitik dunia dijangka terus mempengaruhi turun naik harga produk petroleum dalam jangka sederhana.

Jelasnya, risiko konflik juga telah meningkatkan kos penghantaran minyak dengan ketara.

“Kadar sewaan kapal tangki super bagi beberapa laluan dari Asia Barat telah mencecah paras rekod sekitar AS$1 juta sehari susulan gangguan perkapalan,” tambahnya.

Meskipun begitu, Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar Budi Madani.

Katanya, pada harga semasa, penerima Budi Madani RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.57 seliter.

Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.58 seliter, bersamaan 56% daripada harga tanpa subsidi.

Penerima Budi Madani Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.42 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.32 seliter, atau 61% daripada harga tanpa subsidi.

Harga bagi Sistem Kawalan Petrol dan Diesel bersubsidi pula masing-masing RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan mengingatkan, walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, rakyat diseru terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here