KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menempatkan seramai 43 usahawan di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026 dengan sasaran potensi jualan dan pelaburan sekurang-kurangnya RM50 juta.
Menterinya, Steven Sim berkata, mereka yang diletakkan di bawah Pavilion KUSKOP itu terdiri daripada pelbagai kategori keusahawan iaitu 36 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), lima koperasi dan dua rakan strategik kementerian.
Menurut beliau, kumpulan itu menjadi sasaran utama bagi intervensi KUSKOP menerusi sokongan pemadanan bimbingan pematuhan piawaian pembungkusan antarabangsa, serta akses kepada ekosistem sokongan eksport di platform seperti MIHAS.
“Ini membuka ruang pelaburan dan pembiayaan yang strategik dalam bidang pembangunan kapasiti eksport, pensijilan-pensijilan antarabangsa serta pemodenan pembungkusan dan pemasaran produk.
“Penyediaan Pavilion KUSKOP di MIHAS 2026 ini merupakan bukti nyata komitmen berterusan kementerian dalam memperkasa usahawan dan koperasi tempatan untuk menembusi pasaran halal global,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pavilion KUSKOP sempena MIHAS 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Nainan Merican.
Mengulas lanjut, Steven berkata, KUSKOP turut memperkukuh usaha membantu PMKS mendapatkan pensijilan halal menerusi tiga kerjasama strategik yang dilancarkan bersama rakan industri.
Katanya, ia melibatkan Maxis Berhad menerusi Program Perkasa Halal Maxis eKelas Usahawan bagi meningkatkan literasi digital dan pemasaran dalam talian, selain kerjasama dengan Malaysia International Halal Academy (MyRS MIHA) menerusi Program Halal Sukses KUSKOP.
“Kerjasama ketiga membabitkan Zull Design Autotronic menerusi Program Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH), yang memberi tumpuan kepada automasi dan pemodenan peralatan pengeluaran khususnya bagi usahawan dalam sektor makanan dan minuman,” katanya.
Sementara itu, Steven memberitahu, lebih 3,000 PMKS termasuk koperasi telah dibantu KUSKOP untuk mendapatkan pensijilan halal dalam tempoh kira-kira lima tahun lalu.
“Dengan kerjasama yang lebih erat, saya yakin kita bukan sahaja boleh memudah cara proses membantu usahawan kita ke arah pensijilan halal tetapi juga mempercepatkan proses ini untuk membantu produk usahawan kita mencapai status halal,” katanya.
Beliau, produk halal Malaysia turut menerima sambutan di pasaran China berdasarkan maklum balas yang diterimanya ketika mengadakan pertemuan dengan syarikat dan platform e-dagang di negara berkenaan baru-baru ini.
Juster, kementerian mencadangkan pewujudan Malaysian Mall dalam platform e-dagang antarabangsa sebagai saluran untuk memasarkan produk PMKS Malaysia termasuk produk halal ke pasaran luar negara.
“Cadangan berkenaan mampu membuka akses pasaran lebih luas kepada usahawan tempatan dengan memanfaatkan platform digital antarabangsa termasuk bagi menembusi pasaran China,” katanya.
MIHAS 2026 yang menghimpunkan 1,700 syarikat menerusi 2,400 reruai itu berlangsung dari 23 hingga 26 September di MITEC, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette















