Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Aida Salfaraz Ahmad Fadzil (kiri), dan Ketua Akaun Komersial Airbus bagi Asia Tenggara, Krish Parampathy (kanan).

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines mengesahkan pelanjutan program Flight Hour Services (FHS) yang dimiliki Airbus bagi pesawat A330ceo syarikat tersebut.

Menurutnya, kontrak jangka panjang berdasarkan penggunaan jam penerbangan ini meliputi perkhidmatan komponen bersepadu seperti stok di tapak, akses pool, perkhidmatan pembaikan dan kejuruteraan kebolehpercayaan komponen.

Malaysia Airlines juga akan mendapat manfaat daripada kepakaran kejuruteraan Airbus serta wakil FHS serantau yang membantu aktiviti penyelenggaraan harian, katanya.

Perjanjian ini mengukuhkan kedudukan FHS Airbus sebagai sokongan penyelenggaraan utama untuk A330ceo Malaysia Airlines sejak 2017, serta A330neo yang bermula pada 2024.

Pengumuman ini dibuat sempena majlis menandatangani perjanjian antara Airbus dan Malaysia Airlines di acara MRO Asia-Pacific, Singapura.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Aida Salfaraz Ahmad Fadzil berkata, lanjutan perjanjian ini mencerminkan nilai yang dibawa oleh program Flight Hour Services Airbus dalam operasi syarikat penerbangan tersebut.

Katanya, sejak 2017, Airbus telah menyokong prestasi dan kebolehpercayaan pesawat A330 Malaysia Airlines melalui perkhidmatan komponen dan kepakaran teknikal mereka.

“Seiring fokus kami pada kecekapan operasi dan kecemerlangan perkhidmatan, program ini kekal sebagai aspek penting dalam rangka sokongan kami, dan kami menantikan kerjasama berterusan dengan Airbus,” kata beliau.

Sementara itu, Presiden Airbus Asia-Pasifik, Anand Stanley pula menyifatkan lanjutan kontrak A330ceo ini adalah bukti kukuh kepercayaan Malaysia Airlines terhadap program Flight Hour Services syarikat pembuat pesawat tersebut.

“Airbus telah bekerjasama rapat dengan Malaysia Airlines selama hampir sedekad untuk meningkatkan perkhidmatan dan kami terus menyokong prestasi serta kebolehpercayaan pesawat A330 syarikat ini,” ujarnya.

Airbus FHS menawarkan penyelesaian penyelenggaraan yang fleksibel dan menyeluruh, direka untuk membantu syarikat penerbangan memaksimumkan prestasi pesawat sambil mengurangkan kos operasi keseluruhan.

Dengan kepakaran global Airbus, teknologi canggih serta data dan analitik tepat, perkhidmatan ini memastikan kecekapan dan kebolehpercayaan optimum dalam operasi penerbangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here