KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyokong kenyataan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir bahawa cabaran gaji di Malaysia tidak boleh ditangani hanya dengan menaikkan gaji minimum secara berulang.
MEF berkata, peningkatan gaji perlu disokong pertumbuhan produktiviti, pembangunan kemahiran serta laluan kerjaya yang lebih kukuh bagi memastikan dasar gaji dapat dilaksanakan secara mampan.
Penasihat Kanan MEF bagi Kerajaan, Media dan Penglibatan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kenyataan itu selari dengan pendirian MEF sejak sekian lama bahawa Malaysia memerlukan strategi gaji yang menyeluruh, berasaskan produktiviti dan mampan.
Menurutnya, gaji minimum tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian utama kepada isu gaji dan kos sara hidup negara.
“MEF mengalu-alukan kenyataan Menteri Ekonomi bahawa angka pelaburan semata-mata tidak mencukupi dan pekerjaan bergaji lebih baik, produktiviti, pembangunan kemahiran serta pengukuhan perniagaan tempatan perlu menjadi sebahagian daripada persamaan.
“Prinsip yang sama terpakai kepada gaji. Gaji lebih tinggi perlu disokong produktiviti lebih tinggi, kemahiran lebih kukuh dan penciptaan nilai yang lebih besar. Sekadar menaikkan paras gaji minimum setiap dua tahun tidak dengan sendirinya membentuk dasar gaji yang mampan,” katanya dalam kenyataan.
Akmal Nasrullah sebelum ini berkata agenda gaji Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu melangkaui perlindungan gaji minimum dengan memberi tumpuan kepada peningkatan gaji serta bayaran lebih baik kepada pekerja berkemahiran tinggi.
Menurut beliau, Dasar Gaji Progresif perlu mengaitkan insentif dengan produktiviti, latihan dan peningkatan kemahiran.
Sehubungan itu, MEF berpandangan Malaysia perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk membangunkan rangka kerja gaji nasional yang lebih menyeluruh, merangkumi perlindungan gaji, peningkatan gaji dan kemajuan kerjaya berasaskan produktiviti.
“Gaji minimum ialah paras lantai. Ia tidak seharusnya menjadi siling, begitu juga tidak wajar menjadi mekanisme lalai untuk menentukan keseluruhan struktur gaji.
“Jika paras gaji minimum terus dinaikkan tanpa perhatian mencukupi terhadap gaji pekerja separa mahir, mahir dan berkemahiran tinggi, kita berisiko memburukkan lagi pemampatan gaji dan bukannya menyelesaikannya,” katanya.
Berdasarkan Tinjauan Gaji dan Upah 2025, median gaji bulanan rakyat Malaysia meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940.
Median gaji pekerja berkemahiran tinggi pula ialah RM5,057 berbanding RM2,223 bagi pekerja separa mahir dan RM1,758 bagi pekerja berkemahiran rendah.
MEF berkata, angka itu mengukuhkan keperluan untuk memberi tumpuan kepada laluan peningkatan gaji dan perkembangan kerjaya, bukannya terlalu tertumpu kepada gaji minimum.
“Malaysia perlu memastikan pekerja yang memperoleh kemahiran baharu, memikul tanggungjawab lebih besar dan menjadi lebih produktif menerima peningkatan pendapatan yang bermakna. Itulah yang perlu dicapai oleh sistem gaji progresif sebenar iaitu peningkatan gaji, bukan sekadar pelarasan paras gaji secara berkala,” katanya.
MEF turut menegaskan, dasar gaji tidak boleh dipertimbangkan secara berasingan daripada kos sara hidup.
Menurutnya, gaji nominal yang lebih tinggi tidak semestinya meningkatkan taraf hidup sekiranya kos perumahan, makanan, pengangkutan, pendidikan, utiliti dan keperluan asas terus meningkat.
Pada masa sama, MEF berkata, perhatian lebih besar perlu diberikan kepada kos menjalankan perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Syed Hussain berkata, majikan, terutama PMKS, berdepan tekanan margin akibat peningkatan kos operasi, pembiayaan, utiliti, logistik, keperluan pematuhan serta perbelanjaan perniagaan lain.
“Bagi sesetengah perniagaan kecil, persoalannya bukan lagi sekadar sama ada mereka mampu menaikkan gaji. Sebaliknya, persoalannya ialah sama ada mereka mampu kekal berdaya maju dari segi kewangan ketika menyerap peningkatan terkumpul kos menggaji pekerja,” katanya.
MEF berkata, kenaikan gaji yang tidak disertai peningkatan produktiviti, kecekapan perniagaan dan penambahbaikan persekitaran kos lebih luas akhirnya boleh diserap melalui kenaikan harga, pengurangan pengambilan pekerja, margin keuntungan lebih rendah, pengembangan lebih perlahan atau kelemahan daya maju perniagaan.
“Jika kos sara hidup meningkat sejurus selepas kenaikan gaji, pekerja tidak akan merasai peningkatan bermakna dalam kuasa beli. Oleh itu, kita perlu meningkatkan pendapatan sebenar, bukan sekadar gaji nominal. Ini memerlukan pengurusan kos sara hidup serta kos menjalankan perniagaan,” katanya.
MEF turut mengingatkan bahawa kos menggaji pekerja jauh lebih tinggi daripada gaji asas bulanan kerana merangkumi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), HRD Corp, insurans, kerja lebih masa, cuti, faedah perubatan, latihan, pengambilan pekerja, pakaian seragam, peralatan dan kebajikan.
Justeru, setiap kenaikan gaji asas memberi kesan berganda kepada keseluruhan kos pekerjaan.
“Dari perspektif majikan, kenaikan gaji asas bukan sekadar kenaikan gaji asas. Ia memberi kesan kepada keseluruhan struktur gaji dan boleh mencetuskan peningkatan sepadan dalam caruman berkanun, kos kerja lebih masa serta pemampatan gaji dalam organisasi,” katanya.
Mengulas mengenai penilaian menyeluruh terhadap Dasar Gaji Progresif yang akan dijalankan kerajaan pada akhir 2026 atau awal 2027, katanya, perkara itu tidak seharusnya hanya melihat sejauh mana gaji meningkat, sebaliknya sama ada dasar tersebut berjaya menghasilkan produktiviti lebih tinggi, kemahiran dan kompetensi lebih baik, perkembangan kerjaya bermakna serta peningkatan daya saing perniagaan.
Ia juga perlu menilai pengekalan pekerja berkemahiran, penggunaan teknologi dan automasi, pertambahan pekerjaan bernilai tinggi serta pertumbuhan gaji mampan tanpa menjejaskan daya maju perniagaan.
“Ujian sebenar sesuatu dasar gaji bukanlah berapa banyak gaji dinaikkan di atas kertas, tetapi sama ada pekerja benar-benar berada dalam keadaan lebih baik dan perniagaan kekal cukup berdaya saing untuk terus melabur, mengambil pekerja dan mewujudkan pekerjaan lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















